Thursday, March 31, 2011

Pemergiannya Sukar Untuk Diterima

Sebaik sahaja pulang dari perjumpaan tadi, Nazma terus merebahkan badannya di atas katil. Kepenatan yang sukar digambarkan. Tubuh badannya letih, tapi, otaknya lagi letih memikirkan masa depannya. Namun, dengan mengingati Allah, hatinya kembali tenang, bila mengingatkan kesungguhan Abang Mujahid dan muslimin itu, hatinya juga rasa tenang. Malam itu, Nazma tertidur dengan fikirannya tidak berhenti memikirkan hal-hal akan datang, Adakah ibu dan ayahnya akan menerima muslimin itu? Adakah ibu dan ayahnya akan membenarkan Nazma menikah dalam tempoh setahun hingga ke dua tahun lagi? Dan yang paling penting, adakah Nazma betul-betul bersedia menerima amanah dan tanggungjawab seorang isteri di usia muda begitu? Semuanya ibarat satu mimpi, namun, Nazma akur dengan ketentuan dan takdirNYA, kerna tidak ada sesuatu pun dalam perancangan Allah yang sia-sia. Nazma meletakkan satu keyakinan yang mendalam, bahawa semua ini pasti ada hikmah yang terbesar dalam hidupnya, dalam terus mengembara mencari ilmu menuju Ilahi.


Hari ini hari terakhir Nazma berada di kampusnya, dan tujuan utama Nazma iaitu merujuk kertas kerja Final Year Project kepada pensyarahnya juga telah selesai. Malam ini, Nazma dan Zinnirah akan menaiki bas ekspres dari bumi Penang ke kampungnya. Pada malam yang sama juga, Abang Mujahid akan menaiki keretapi dari bumi Kedah ke kampusnya di Perak. Dalam perjalanan Nazma pulang ke kampungnya, kadang-kadang naluri hatinya rasa kurang enak. Kebiasaannya, pasti ada sesuatu yang bakal terjadi pada ahli keluarganya. Namun, Nazma hanya memperbanyakkan berdoa semoga seluruh ahli keluarganya dalam lindungan Yang Maha Melindungi.


Nazma dan Zinnirah tiba di pekan kampungnya pada jam 3 pagi. Suasana pagi yang hening itu, dibasahi dengan rintikan hujan, menyebabkan Nazma kesejukan sambil menunggu ayahnya datang menjemput. Beberapa minit kemudian, kelihatan kereta ayahnya berhenti di hadapannya. Nazma bersalaman dengan ayahnya dan pulang ke rumahnya. Sesampainya di rumah, ibu, kakak dan adik-adiknya masih tidur. Nazma masuk ke billiknya untuk melelapkan mata sekejap sebelum waktu Subuh.













"Ya Allah? Accident? Dengan apa? Kawannya meninggal dunia?", suara Kak Wahida yang tengah bercakap di telefon mengejutkan Nazma dari tidurnya. Barangkali ada kawan Kak Wahida kemalangan. Nazma menggapai-gapai telefon bimbitnya untuk melihat waktu saat itu. "3 missed call", tentera di telefon bimbitnya, panggilan yang tidak dijawab dari Kak Insyirah, sahabat Abang Mujahid di kampusnya. Nazma kehairanan. 

Usai sahaja Kak Wahida menamatkan perbualannya di telefon, Nazma terus menanyakan apa yang dibicarakan oleh Kak Wahida di telefon. "Naz... Abang Mujahid... Abang Mujahid...", hanya itu yang keluar dari bibir Kak Wahida dan dia terduduk menangis. Nazma mulai merasakan sesuatu yang musibah benar-benar menimpa keluarganya. Nazma mendekati Kak Wahida dan meminta supaya Kak Wahida bertenang dan menceritakan apa yang terjadi.

"Abang Mujahid,... Dia kemalangan. Dia membonceng motorsikal kawannya ke kampus dari Hentian Bas Tanjung Malim. Dalam perjalanan tu, mereka kemalangan dengan lori. Kawan Abang Mujahid yang menunggang motorsikal tu meninggal dunia di tempat kejadian... Abang Mujahid kita, dia mengalami pendarahan dalaman di perutnya, Sekarang, dia sedang dibawa ke hospital berdekatan...", setiap kata-kata yang keluar dari mulut Kak Wahida sukar untuk Nazma menerimanya. Terus sahaja otaknya ligat mengingati saat-saat bersama Abang Mujahid, senyuman Abang Mujahid, kegembiraan Abang Mujahid dan semangat Abang Mujahid.



 Nazma sekeluarga bergegas ke Perak, dan dalam masa yang sama, keadaan Abang Mujahid belum stabil. Sudah dipindahkan ke beberapa buah hospital, dan keadaannya semakin teruk. Ketika dalam perjalanan, Nazma sekeluarga tidak pernah putus berdoa supaya Allah menyelamatkan Abang Mujahid. Tiba-tiba, ada satu panggilan masuk ke telefon bimbit ayah Nazma. "Ya, saya ayahnya,... Innalillahi wainna lillahi raji'un", kalimah itu membuatkan Kak Wahida, Nazma dan ibunya menangis dengan lebih kuat, tidak dapat ditahan lagi rasa yang ditanggung. Dengan menguatkan semangatnya, Ayah Nazma menasihatkan ahli keluarganya itu supaya bertenang dengan ketentuan Ilahi itu. Sabar dengan takdir Ilahi itu.


Sesungguhnya terlalu ramai yang menyayangi Abang Mujahid, namun Allah, pemilik segala hamba, lebih menyayangi hambaNya yang bergelar Mujahid itu. Pada tarikh 11 Januari 2010, perginya seorang Mujahid yang sentiasa istiqamah dalam gerak kerja dakwahnya, perginya seorang Mujahid yang begitu komited dalam gerak kerja Islamnya, perginya seorang Mujahid yang warak, lemah lembut dan sentiasa tersenyum di kala susah dan senang. Perginya seorang Mujahid yang benar-benar membuktikan dirinya seorang yang berjihad di jalan Allah. Dan perginya Mujahid ini, dalam keadaan dia dalam  cita-citanya yang tertinggi, "Syahid di Jalan Allah". Semua yang mengenali Abang Mujahid benar-benar merasakan kehilangan sebutir mutiara ini, dan Nazma paling merasakan kehilangannya Abang Mujahid, kerana dialah ahli keluarga terakhir yang berjumpa dengan Abang Mujahid sebelum Abang Mujahid meninggal dunia.

















"Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu. Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan"
 (Surah Yasin : 82-83)



Wednesday, March 30, 2011

Keakraban Melahirkan Rasa Ketenangan

Sesampainya Nazma dan Zinnirah di hentian bas Sungai Petani, Abang Mujahid dan muslimin itu masih dalam perjalanan ke situ. Mereka agak terlewat kerana program habis agak lambat.


Azan Maghrib berkumandang, dan kelibat Abang Mujahid dan muslimin itu masih belum kelihatan. Nazma dan Zinnirah berjalan ke surau berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib. Namun, mereka tidak menunaikan solat di situ, disebabkan sistem pembinaan surau itu yang tidak begitu menitikberatkan dalam menjaga aurat muslimat. Tempat mengambil wudhuk sangat terdedah kepada pandangan muslimin. Nazma dan Zinnirah bergerak ke surau pusat membeli-belah berdekatan, Jusco.


Di tengah-tengah riuh-rendah dendangan lagu di pusat membeli-belah itu, kedengaran sayup-sayup suara Imam membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Masih ada segolongan kecil yang menunaikan solat berjemaah. Tenang hati Nazma melihatkan masih ada yang menunaikan kewajipan yang disyariatkan Allah itu di tempat sebegitu.

Usai sahaja mengaminkan doa, telefon bimbit Nazma bergetar, menandakan ada panggilan masuk.. "Abang dah sampai kat hentian bas Sungai Petani. Abang nak solat Maghrib di sini dulu. Naz kat mana?", tanya Abang Mujahid. "Naz kat surau Pusat Membeli Belah Jusco, kami solat Maghrib di sini sebab surau kat hentian bas tadi tak ok", jawab Nazma. "Ok, takpa, Naz tunggu kat sana baik-baik ya, nanti kami ambil Naz dan Zinnirah kat sana". "Ok, insyaAllah".

Nazma dan Zinnirah menanti kedatangan Abang Mujahid di depan pintu utama Jusco. Selang 10 minit, sekali lagi telefon bimbit Nazma bergetar. "Naz, abang dah sampai depan pintu utama, tak nampak pun Naz", tanya Abang Mujahid. "Naz ada, kat tepi sikit ni,", jawab Nazma sambil matanya mencari-mencari kelibat Abang Mujahid. Dari kejauhan, kelihatan ada seorang lelaki yang melambai-lambai kegirangan kepadanya. Ya, tidak salah lagi itulah Abang Mujahid.

Nazma bersalaman dengan Abang Mujahid. Dan saat itu, Nazma dapat melihat kelainan pada wajah Abang Mujahid. Wajah yang kepenatan tetapi penuh kegembiraan. Di dalam kereta menuju ke Radix Pizza House (RPH), Nazma diam membisu. Hanya kedengaran suara Abang Mujahid dan muslimin itu, bersembang tidak henti, mengenai remaja Islam hari ini, dan macam-macam lagi. Nazma terharu melihat keakraban mereka. Dan Nazma tidak pernah melihat Abang Mujahid sepetah itu dalam berbicara. Kebiasaannya, Abang Mujahid lebih selesa menghadiahkan senyuman dan mendengar.


Muslimin itu menurunkan kami bertiga di RPH, manakala dia pergi meletakkan kereta di tempat letak kereta berhampiran. "Abang, camna program tu? Best tak? Ruginya tak dapat ikut sekali. Nanti abang bagi pengisian kat Naz tentang program tu ye", Nazma membuka bicara. Di dalam kereta, tiada satu patah perkataan pun yang keluar dari bibirnya, Zinnirah yang terpaksa menjawab segala pertanyaan dari Abang Mujahid dan muslimin itu. "Oo, program tu best sangat. Rugi Naz tak ikut. Boleh je abang bagi, tapi tak samalah, kalo Naz pergi sendiri, mesti lagi baik", jawapan Abang Mujahid cukup menggambarkan yang program itu sangat bermanfaat.

Beberapa minit kemudian, muslimin itu muncul. Ini adalah pertama kali mereka makan di situ, Abang Mujahid yang beria-ia benar ingin makan di situ, Selesai makan, Zinnirah duduk di meja belakang, bagi menghormati kerahsiaan dalam perbincangan di antara Abang Mujahid, muslimin itu dan Nazma. Abang Mujahid memulakan sesi perbincangan dengan doa. Abang Mujahid menerangkan serba sedikit perjalanan sesi perbincangan itu. Abang Mujahid menyatakan bahawa sesi itu adalah sesi perbincangan dan dia mengharapkan kesudahan yang terbaik daripada perbincangan itu. Kemudian, muslimin itu memulakan berbicara mengenai perancangannya. Nazma terkedu mendengar perancangan yang sangat teliti dari seorang lelaki yang baru mencecah usia 22 tahun. Kadang-kadang, Nazma diminta untuk memberi pandangan dan pendapat.

Di akhir perbincangan, Nazma temui satu ketenangan menyelinap ke dalam hatinya. Rasa ketenangan itu lahir bila melihatkan keakraban ukhuwah antara Abang Mujahid dan muslimin itu. Namun, rasa ketenangan itu terasa lagi kuat bila mendengarkan perancangan teliti dari muslimin itu, sekaligus meyakinkan Nazma bahawa muslimin itu adalah muslimin yang bakal membawanya ke jalan Menuju Redha Allah. Walaupun, berbagai-bagai persoalan dan konflik yang muncul di benaknya, Nazma menyerahkan semuanya kepada Allah.

"Alhamdulillah, kita sudah sampai ke penghujung sesi perbincangan ini. Diharapkan kedua-dua belah pihak faham dengan matlamat perbincangan kita pada malam ini. Alhamdulillah, Abang bersyukur sangat atas nikmat kurniaan Allah ini. Alhamdulillah, kita dapat bertemu pada malam ni, kita tidak tahu bilakah lagi kita akan dipertemukan sebegini. Pertemuan pertama mungkin juga menjadi pertemuan terakhir. Apapun, Abang gembira sangat dengan pertemuan kita pada malam ni. Abang rasa lega, sebab dapat men'clear'kan hal ini terutamanya kepada Nazma. Naz, jangan risau, insyaAllah, abang balik bulan 5 ni, abang akan bincangkan semua hal ini pada Abah, Naz tak perlu buat apa-apa, biar abang yang uruskan. Naz hanya kuatkan diri dan banyakkan berdoa pada Allah", begitulah kata-kata yang penuh berhikmah dari Abang Mujahid, yang memahami benar hati Nazma.

Usai sahaja perbincangan itu, Abang Mujahid dan muslimin itu menghantar Nazma  dan Zinnirah ke kampusnya. Di dalam perjalanan, Abang Mujahid tertidur. Kelihatannya, Abang Mujahid begitu penat, namun, tergambar bahawa, sekarang, dia tertidur melepaskan lelah penat menguruskan berbagai tanggungjawab dan amanahnya dalam perjuangan Islam.

Setibanya di kampus, Abang Mujahid masih tertidur kepenatan. Nazma tidak sampai hati ingin mengejutkannya. Hanya ucapan terima kasih keluar dari bibirnya, sejurus itu, Nazma dan Zinnirah keluar dari kereta menuju ke kampusnya. Perpisahan pada malam itu seperti tidak lengkap, bilamana Nazma tidak bersalaman dengan Abang Mujahid. Namun, Nazma meneruskan langkahnya, mengharapkan masih ada rezeki di masa akan datang untuk mencium tangan abangnya itu.

Tuesday, March 29, 2011

Pertemuan Yang Tidak Diduga

Semenjak urusan lamaran oleh muslimin itu diuruskan oleh Abang Mujahid, Nazma tenang melalui hari-harinya. Nazma yakin dengan kebijaksanan dan tulusnya hati Abang Mujahid dalam menilai muslimin itu. Dan sejak hari itu, Nazma tidak pernah berhenti berdoa supaya Allah menunjukkannya jalan yang terbaik di sisiNya, dan segala-galanya hanya bermatlamatkan, Mencari Redha Ilahi.

Melalui hari-hari praktikalnya di hospital selama 6 bulan, kini, Nazma mulai sibuk dengan kertas kerja untuk Final Year Project kursusnya. Bagi mendapatkan khidmat tunjuk ajar dari pensyarahnya, Nazma dan Zinnirah mengambil keputusan untuk merujuk hal itu ke kampusnya. Mereka akan berada di sana selama 2 hari.

Seminggu sebelum bertolak ke kampusnya, Abang Mujahid menghubungi Nazma. Abang Mujahid menyatakan bahawa dia akan berjumpa muslimin itu setibanya muslimin itu di Malaysia .. Muslimin itu akan pulang bercuti ke Malaysia selepas berakhinya semester pertama pengajiannya di bumi China. Abang Mujahid ternyata begitu gembira untuk berjumpa dengan muslimin itu. Tambahan pula, tanpa disangka-sangka, mereka akan berada dalam satu program yang sama, di mana muslimin itu sebagai urusetia program dan Abang Mujahid sebagai peserta program. Begitulah kehidupan dua lelaki ini, yang sentiasa istiqamah dalam program-program yang mendidik jiwa mereka ini. Nazma bangga dengan mereka berdua.


Ajakan Abang Mujahid untuk menyertai program itu juga sangat membuntukan otak Nazma. Dengan kerja projeknya yang bertimbun-timbun, rasanya dirinya tidak mampu untuk ke program itu. Dan alasan yang paling kuat adalah, Nazma tidak mahu bertembung atau berjumpa dengan muslimin itu. Keputusan Nazma sedikit mengecewakan Abang Mujahid yang sangat beria-ia ingin Nazma mengikuti program bersamanya itu.

Setibanya Nazma di kampusnya, Abang Mujahid masih memujuknya ke tempat program, namun, Nazma tetap dengan keputusannya. Mengutamakan apa yang terlebih utama, kerana keberangkatannya ke bumi Penang, adalah untuk menyiapkan projeknya. Kali ini, Abang Mujahid sangat berbeza sekali. Tidak putus asa memujuk Nazma, Abang Mujahid menyatakan bahawa Abang Mujahid ingin berjumpa dengan Nazma di Sungai Petani, jaraknya adalah pertengahan antara kampus Nazma dengan tempat Abang Mujahid. Entah apa yang membuatkan Abang Mujahid begitu, Nazma kehairanan, namun, jauh dihatinya, pasti ada perkara penting yang ingin Abang Mujahid bicarakan dengannya,


Bukannya Nazma tidak mahu berjumpa dengan Abang Mujahid, tetapi, apabila pertemuan itu juga melibatkan muslimin itu. Ini betul-betul membuatkan Nazma tidak selesa. Nazma merasakan yang dia tidak perlu hadir dalam perbincangan abangnya dan muslimin itu. Tetapi, alasannya itu dicantas oleh abangnya dengan hujah-hujahnya, antaranya, "Inilah satu-satunya peluang kita nak berjumpa dan berbincang. Nanti, susah dah nak jumpa balik. Muslimin tu nanti nak kena fly ke China balik. Abang pulak tak tahulah camna". Kata-kata Abang Mujahid ada benarnya, namun, Nazma tetap dengan keputusannya.


Selepas menyiapkan kerja-kerja di kampusnya, Nazma diingatkan oleh Zinnirah mengenai perjumpaan dengan Abang Mujahid. Sebelum ini, Nazma ada menyatakan bahawa jika sudah siap semua kerjanya, dia akan pertimbangkan untuk mengikuti perjumpaan itu atau tidak.  "Ok, jom kita ke Sungai Petani, rasanya masih ada bas ke sana.", tiba-tiba sahaja Nazma menyatakan hasratnya, Zinnirah yang kebingungan dengan tindakan Nazma hanya mengikuti, kerna Zinnirah kenal benar dengan tingkah laku sahabatnya itu.



"Abang, Naz ada kat Perhentian Bas ni. Naz dah amik tiket ke Sungai Petani. Kita jumpa di sana ye". Ringkas sahaja mesej Nazma kepada abangnya. Beberapa minit kemudian, terus sahaja Abang Mujahid call Nazma, suara keriangan kedengaran di hujung talian. Ternyata gembira benar Abang Mujahid, seakan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan Nazma. Di dalam hati Nazma, dia pun tidak faham bagaimana dia boleh mengubah keputusan di saat-saat akhir, mungkin inilah naluri yang Allah hadirkan, jika ianya adalah yang terbaik di sisiNya.... Kerna tiada yang berlaku tanpa izinNya, semua yang berlaku adalah percaturanNya.. Dan yakinlah percaturan Allah yang terbaik.

Thursday, March 24, 2011

Lamaran Ketiga Melalui Abang Mujahid

Sepanjang Nazma menjalani latihan praktikalnya di hospital, dia kerap berulang-alik dari rumah sewa dengan rumah orang tuanya. Hujung minggu kali ini, Nazma tidak sabar untuk pulang berjumpa ibunya. Ibunya yang sentiasa menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Setiap suka dan dukanya.

Ibunya sentiasa bertanyakan mengenai latihan praktikalnya. Seperti biasa, Nazma menceritakan suka dukanya di hospital. Terubat semuanya apabila ibunya sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Di dalam perbualan kali ini, Nazma menceritakan mengenai muslimin itu kepada ibunya. Nazma sentiasa menceritakan mengenai mana-mana lelaki yang cuba mendampinginya kepada ibunya, tapi, kali ini, Nazma berbeza sekali. Dan niatnya bercerita hanya untuk berkongsi perasaannya sahaja, kerna dia tahu semuanya sudah berakhir.


Selesai menceritakan mengenai muslimin itu, ibunya menanyakan soalan bertubi-tubi kepada Nazma. "Dia kat mana sekarang? Dia buat apa sekarang?". Nampaknya lain ekspresi ibunya berbanding kebiasaannya. Kali ini, seakan ibu berkenan benar ingin mengetahui mengenai muslimin itu. "Dia sambung belajar ke luar negara." Ringkas sahaja jawapan Nazma. "Sayang kan, Naz. Ibu rasa baik budak tu, mengajar kat masjid, jadi imam. Tapi, nak buat macam mana kan, Naz pun belum habis belajar. Pastu,  Naz tak pernah dapat khabar berita dia dah  ke?". "Tak, ibu", ringkas jawapan Nazma. Kerna, jauh di sudut hatinya, dia juga merasakan seperti apa yang ibunya rasakan. Namun, masanya belum tiba. Biarlah kami membawa haluan masing-masing. Jika kami telah dijodohkan antara satu sama lain, tiada apa yang perlu digusarkan lagi. Yakinlah dengan ketentuanNya.


Pagi itu, Abang Mujahid menelefon Nazma. Abang Mujahid yang sentiasa mengambil berat hal keadaan Nazma. "Assalamualaikum, Naz. Apa khabar? Camna dengan praktikal? Ok?", Abang Mujahid memulakan perbualan. "Alhamdulillah, semua baik2 sahaja. Kenapa Abang Mujahid telefon Naz pagi-pagi ni? Macam ada hal penting ja ni", tanya Nazma bila merasakan kelainan cara Abang Mujahid kali ini.

"Oh, tak de pape lah, saja ja Abang Mujahid telefon. Boleh Abang Mujahid tanya satu hal kat Naz".
Hati Nazma berdebar, sangkaannya makin tepat. "Ada apa Abang, silakan".

"Naz, abang harap Naz dengar baik-baik apa yang abang ingin cakapkan ni. Fikir baik-baik. Jangan bertindak mengikut emosi lagi. Camni, Naz ingat tak muslimin yang melamar Naz aritu? Dia melamar Naz sekali lagi, iaitu kali ketiga, melalui abang Mujahid".

"Ya Allah,...", hanya itu yang mampu Naz lafazkan. Perasaannya bercampur baur. Tidak tahu apa yang harus dia perbuat. Yang pasti, dirinya belum bersedia. Nazma hanya membisu seribu bahasa. Dan Abang Mujahid yang cukup mengenali adiknya itu, meneruskan berbicara :

Nasihat Rasulullah SAW : "Jika datang (melamar) kepadamu orang yang engkau redha akan Agama dan akhlaqnya, maka nikahkanlah (puterimu) dengannya, jika kamu tidak menerma (lamarannya) nescaya terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas" (HR. At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

"Abang nak Naz cuba fikir. Bagaimana agama muslimin itu? Bagaimana akhlak muslimin itu? Rasanya walaupun Naz tidak mengenalinya, Naz pasti dapat merasakannya. Cuba Naz renungkan, di zaman sekarang, mana lagi Naz nak cari muslimin seperti dia? Yang mana, muslimin ini, abang yakin dapat bimbing Naz, dalam mencari redhaNya. Abang tahu citarasa Naz, dan abang tahu dia menepati citarasa Naz. Dan yang membuatkan Naz menolak, bukan apa, sebab Naz takut kan? Naz takut Naz tak dapat kejar cita-cita Naz lagi. Naz takut Naz menghampakan keluarga. Naz fikir semuanya adalah mustahil. Tapi, Naz lupa sesuatu. Naz ada Allah, yang Maha Menolong hambaNya. Jika perkara baik, Naz perlu yakin dengan pertolonganNya... Sebab tiada yang mustahil dengan QudratNya dan IradatNya.", panjang benar Abang Mujahid memberikan pengisian kepada Naz.

Dan Nazma mengakui setiap kata-kata Abang Mujahid. Bukannya dia menolak disebabkan muslimin itu yang melamarnya. Tapi, disebabkan dia tidak mahu keluarganya hampa dengannya. Baginya, dia adalah harapan keluarga. Namun, kata-kata Abang Mujahid banyak membuka fikirannya yang sempit itu. Dan Nazma meminta masa untuknya berfikir, sekaligus, meminta Abang Mujahid berurusan dengan muslimin itu. Ini bukanlah kata putus yang menyatakan Nazma bersetuju. Kerna, Nazma tetap memberikan syarat kepada abang Mujahid iaitu :

"Abang Mujahid yang akan menguruskan semuanya. Dan Abang perlu check muslimin itu terlebih dahulu. Jika dia baik pada pandangan abang, baiklah pada pandangan Naz. Jika abang rasa dia yang terbaik, abang juga lah yang akan memberitahu ibu dan ayah nanti. Jika ibu dan ayah tidak bersetuju, Naz akan ikut apa yang ibu dan ayah nak". Begitu panjang syarat Nazma kepada Abang Mujahid.



"Alhamdulillah, Allah akan menolong benda baik. Naz jangan bimbang. Semuanya akan diuruskan oleh abang. Cuma, abang mintak satu je. Naz, banyakkan solat istikharah, solat hajat, mintak Allah tenangkan hati Naz, juga memberikan petunjuk kepada Naz. Naz jangan pikir banyak sangat, semua tu bisikan syaitan saja tu, yang tak suka kita buat benda baik. Oklah, abang gembira Naz memberikan peluang kepada muslimin itu kali ini.", gembira sekali suara Abang Mujahid. Nazma dapat membayangkan senyuman yang terukir di bibir abangnya itu. Dan Nazma, jauh di sudut hatinya, dia merasakan semuanya sudah dipermudahkan oleh Allah, namun ujian dan dugaan tidak akan pernah berhenti. Dia harus mempersiapkan diri untuk sabar dan tabah jika ini jalan yang dipilihnya.



Sunday, March 20, 2011

Dia Adalah Muslimin Itu...

Terungkai sudah siapakah muslimin itu. Hanya dengan satu nama, tapi, benar-benar membuatkan Nazma tidak dapat melelapkan mata malam itu.

Nazma mengimbas kembali detik2 di kampusnya. Pertembungan pertama, waktu itu, Nazma mengikuti satu siri forum di kampusnya. Dan muslimin itu menjadi pengerusi forum tersebut. Saat itu, Nazma tidak berapa suka cara muslimin itu, yang banyak cakapnya, banyak lawaknya dan tidak serius menjadi pengerusi forum. Itulah pandangan pertama Nazma pada muslimin itu.

Pertembungan kedua, Nazma dan muslimin itu di dalam satu unit yang sama untuk program. Muslimin itu sebagai ketua unit. Namun, selalu menghilang, dek kerana sibuk dengan aktiviti2 lain jugak. Jadi, walaupun di dalam satu unit, tapi, boleh diibaratkan buat kerja sendiri-sendiri, disebabkan ketua unit selalu sibuk. Hinggalah dekat dengan program, Nazma diamanahkan untuk menjadi timbalan unit. Jadi, semua kerja ketua unit Nazma buat, dan waktu itu, tanggapan Nazma pada muslimin itu, bertambah teruk.

Pertembungan ketiga, program lawatan sambil belajar. Nazma menguruskan fasilitator. Dan muslimin itu adalah antara fasilitatornya, dan tanggapan Nazma padanya masih tidak berubah. Terutamanya ketika muslimin itu menjadi panel forum. Entah kenapa, semua orang ketawa dan gembira dengan celotehnya. Tapi, tidak bagi Nazma.

Hinggalah pada suatu ketika, sahabat Nazma, Zinnirah mengikuti kelas bahasa Arab dengan muslimin itu. Dan Zinnirah yang gemar bercerita, sering menceritakan pembelajaran kelas Bahasa Arabnya. Zinnirah menyatakan bahawa muslimin itu mengajar di masjid-masjid berdekatan, juga pandai dalam Bahasa Arab. Sehinggakan ustaz pula yang bertanya kepadanya. Nazma mulai mengikis perasaan negatifnya pada muslimin itu. Dan Nazma mulai kagum, kagum dengan ilmu agama yang dia ada.

Juga di satu malam, muslimin itu menggantikan ustaz yang tidak dapat memberikan Kuliah Maghrib. Pertama kalinya, mendengar muslimin itu memberi ceramah secara formal. Tapi, masih lagi tidak serius. Namun, apa yang ingin disampaikannya Nazma dapat. Dan kelihatannya, pelajar-pelajar lain mendengar dengan penuh minat. 

Mulai saat itu, Nazma tidak lagi beranggapan negatif pada muslimin itu. Malahan Nazma kagum dengannya.
Pernah terlintas di hatinya, beruntunglah isteri muslimin itu nanti. Namun, cepat-cepat Nazma lupakan lintasan hati itu, kerna dia tahu siapalah dirinya. Muslimin itu pasti tidak mengenalinya.

Nazma tersedar dari ingatan-ingatannya di kampus itu. Sungguh, Nazma betul2 tidak percaya, dia adalah muslimin itu. Dia yang pernah membuatkan Nazma kagum dengan agama yang ada padanya. Dan yang paling membuatkan Nazma tertanya2, bagaimana muslimin itu masih lagi mahu melamarnya buat kali kedua, sedangkan muslimin itu melihat sendiri, dirinya yang serba kekurangan dan kelemahan. Bagaimana muslimin itu boleh begitu yakin memilihnya sedangkan tidak pernah mengenali dirinya?
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Siapakah Dia?

Sudah seminggu Nazma melalui latihan praktikal di hospital. Bersama Zinnirah, sahabat yang tidak pernah berpisah dengannya sejak mula-mula menjejakkan kaki ke kampus 2 tahun yg lepas.

Kesihatan Nazma bertambah baik dari hari ke hari. Walaupun dihujani dengan pelbagai ujian yang silih berganti ketika menjalani latihan praktikalnya, Nazma terus melangkah.

Selepas selesai solat Isya berjemaah diimamkan Zinnirah, Nazma bersembang dengan sahabatnya itu. Mengenangkan saat suka duka di alam kampus, juga mengenangkan kesabaran Zinnirah dalam melayani kerenah Nazma. Dan malam itu, Nazma mengucapkan terima kasih atas ketulusan hati Zinnirah mengambil berat dan menjaganya selama mereka mengenali antara satu sama lain.


Syukran ya sohabati, Zinnirah...

Di tengah rancak bersembang, hati Nazma tiba-tiba teringat kepada muslimin itu. Rasa ingin tahu siapakah gerangan muslimin? Mahu saja diceritakan kepada Zinnirah, tapi, apa manfaatnya? Nazma memadamkan hasratnya.

"Naz, ke mana mengelamun ni? Teringat kat sapa?", tegur Zinnirah, menyedarkan Nazma dari lamunannya. "Tak da pape, teringatkan seorang, takpelah, tak penting pun".
"Bagitahulah, ada apa? Tengok muka Naz, dah tahu yang Naz ada rahsia besar ni", pujuk Zinnirah.
"Entahlah, tak perlu rasanya, benda dah lepas, dah tutup kes dah", jawab Nazma selamba.
"Cerita je lah, mana tahu Zinnirah dapat bagi nasihat pape".

Entah bagaimana Nazma tiba-tiba seperti ingin menceritakan apa yang terbuku di hatinya itu,. Dengan pujukan Zinnirah pulak, Nazma akur untuk bercerita. Mungkin tindakannya ini adalah satu kesalahan. Namun, niatnya hanya ingin berkongsi dan Zinnirah dapat memberikan secebis kata2 semangat untuknya.

Tekun sekali Zinnirah mendengar cerita Nazma. Dari lamaran pertama ke lamaran kedua sehinggalah kepada membawa haluan sendiri. Bagi Nazma, dia tidak mengaibkan muslimin itu, sebab namanya pun tidak Nazma ketahui, apatah lagi ciri-cirinya. Zinnirah mula bersuara, "Naz, tak cuba ambil tahu ke siapa muslimin tu". "Tak perlu rasanya kan?", jawab Nazma. "Bukan apa, cubalah ambil tahu, siapa dia, kalo muslimin tu baik orangnya, dapat membawa Naz ke jalanNya, tak elok pulak Naz tolak sebenarnya tu". "Biarlah Zinnirah, benda dah lepas, muslimin tu pun entah dah ke mana kan, lupakan saja".

Sejak dari perbualan mereka malam tu, rasa ingin tahu Nazma makin kuat. "Jika ada seorang laki-laki yang baik datang meminang seorang perempuan, jika ditolaknya, maka akan berlakulah fitnah kepadanya", terlintas di hatinya ayat ini.

Nazma merasakan dia perlu tahu. Sejurus itu, Nazma menanyakan soalan itu kepada Kak Madihah.
Siapakah dia?
Selepas bertanya khabar, Nazma terus kepada tujuan dia membuat panggilan telefon itu. "Kak, Naz nak tanya satu hal ni. Tapi, kalo kak rasa Naz tak perlu tahu, takpe, Naz paham. Camni kak, boleh tak Naz tahu siapa muslimin itu, yang melamar Naz dua kali dulu".

Kak Madihah tergelak mendengar pertanyaan Nazma. Kak Madihah mengusiknya, "Kenapa? Naz nak terima dia balik ke? Dia dah tak da.". Naz terus bertanya, "Apa? Tak da? Dia pergi mana kak?". "Dia dah sambung belaja ke luar negara. Ha, tulah, dia dah merajuk sampai ke luar negara dah".

Nazma masih tidak dapat meneka siapakah muslimin itu. "Tak da lah, mana ada menyesal kak. Ntah, tiba2, hati ni nak tahu, tapi, tak da papepun, semua dah terhenti hari tu," jawab Nazma. "Betul ke? Tak percayalah,. Dah tahu ke sapa dia ni?". "Entah kak, manalah Naz tahu siapa dia, Bukannya Naz kenal semua muslimin. Takpelah, tak pen...". Belum sempat Naz menghabiskan ayatnya, Kak Madihah mencelah dengan menyebut satu nama.

Nama seorang muslimin. Nazma teringat muslimin dengan nama itu, yang petah sekali dalam memberi tazkirah di masjid kampusnya. Nazma teringat muslimin dengan nama itu, yang lunak alunan bacaan Al-Qurannya ketika sembahyang berjemaah di masjid. Nazma teringat muslimin dengan nama itu yang pernah mengikuti kelas bahasa Arab untuk belajar, tapi, kadang-kadang ustaz yang belajar dengannya. Nazma teringat muslimin dengan nama itu yang pernah melihat diri Nazma yang melenting dalam mesyuarat. Dan, yang sangat mengejutkan Nazma, bagaimana mungkin muslimin itu membuat lamaran kedua setelah melihat perangai ego Nazma ketika di program kepimpinan.Muslimin dengan nama itu, yang bagai langit dengan bumi dengannya. Bagaimana mungkin muslimin sebaiknya memilih Nazma, yang tiada apa-apa.

Nazma senyap seribu bahasa. "Naz, naz ok tak? Kenapa ni? Naz nangis ke?" bertubi2 soalan dari Kak Madihah. Dan Nazma terkedu, terharu dan masih tidak percaya. Hampir saja air-air jernih terkeluar dari kelopak matanya. "Mana ada Naz menangis. Naz ok lah. Naz saja tanya, tak da pape lah, kan dah settle aritu, tutup kes. Apapun kak, terima kasih sudi bagitau Naz siapa muslimin itu".

Perbualan mereka diakhiri dengan salam. Dan Nazma tidak dapat membendung perasaannya lagi. Kerna dia punyai satu rahsia mengenai muslimin dengan nama itu. Dan rahsia itu hanya Allah dan diri Nazma yang mengetahuinya. Begitu banyak rahsia-rahsiaNYA, dan hanya Allah, Yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam hati Nazma. Kerna DIA lah pemilik hati setiap hamba-hambaNya.

Gambar Hiasan

Membawa Haluan Sendiri

Nazma buntu sekali lagi, tidak tahu siapakah yang dapat dia kongsikan masalah yang 'sangat besar' ini. Teringat pada Abang Mujahid, sekali lagi, Nazma mengadu kepada abangnya. Masih lagi dengan responnya yang tenang, begitulah Abang Mujahid, yang sentiasa tenang dalam apa jua perkara.


Abang Mujahid, insan yang setia mendengar masalah Nazma
"Dilamar lagi? Dari muslimin yang sama? Nampaknya, muslimin tu memang betul2 nekad ni. Naz, abang Mujahid harap Naz pertimbangkan baik2, jangan pikir terlalu banyak, tapi pikirlah secara mendalam matlamat perkahwinan ini, tak lain hanya kerana Mencari Redha Allah. Jadi, jika inilah yang terbaik,Allah akan mudahkan." Nasihat abang Mujahid masih tidak dapat masuk ke dalam hati Nazma, baginya, Abang Mujahid terlalu ambil mudah hal ini. Perkahwinan bukanlah perkara kecil. Dan yang paling Nazma fikirkan adalah ibu bapanya yang pastinya inginkan Nazma menamatkan pembelajaran ke peringkat tertinggi.

Seminggu telah berlalu, dan Nazma sudah sihat sepenuhnya. Tiada lagi demam dan pening. Dan seperti yang dijanjikan, Kak Madihah menanyakan jawapan Nazma sekali lagi.

Walaupun Nazma sememangnya nekad untuk menolak lamaran itu, Nazma tidak pernah berhenti berdoa untuk muslimin yang melamarnya. Ingin sahaja Nazma menyatakan sendiri kepada empunya badan kenapa dia menolak. Namun, Nazma yakin itu bukanlah caranya, dan Nazma mungkin akan lebih melukakan hati muslimin itu. Jauh di sudut hatinya, Nazma begitu kagum dengan muslimin ini, yang begitu setia melamarnya, walaupun muslimin ini tidak mengenali dirinya secara dekat. Kerna, Nazma bukanlah senang didekati terutamanya oleh kaum Adam. Nazma terharu dengan kesungguhan muslimin ini, cara lamarannya yang begitu bersungguh2, tidak menunjukkan bahawa dia main-main dengan keputusan ini. Malahan, Nazma dapat merasakan, bahawa dia pastinya tidak layak untuk muslimin itu. Naluri hatinya mengatakan bahawa muslimin itu pasti lebih baik darinya. Namun, Nazma tidak ingin ambil tahu siapakah gerangan muslimin ini, walau namanya sekalipun. Cukuplah semuanya terhenti di sini.


Nazma memilih untuk menolak lamaran kedua

Kecintaan dan ketaatan Nazma kepada ibu bapanya tidak berbelah bagi. Juga perasaan untuk berkahwin itu belum tiba. Masih terlalu banyak impiannya yang belum tercapai. Dan, jika lamaran itu diterima, Nazma tidak boleh melambatkan proses perkahwinan. Nazma telah merancang, tempoh pertunangannya paling lama adalah setahun. Dan tiada perhubungan sebelum pertunangan. Jadi, Nazma begitu yakin, masanya belum tiba untuk proses ini.

Nazma yakin inilah yang terbaik. Sebulan sahaja lagi, Nazma akan memulakan latihan praktikal di hospital, di negeri kelahirannya. Jadi, tiada apa yang Nazma perlu gusarkan, kerna, muslimin itu tidak akan pernah berjumpa dengannya lagi. Dan Nazma merasakan dia sudah selamat, dari pandangan muslimin itu.


Meneruskan melangkah dalam Mencari Redha Allah.

Nazma dan muslimin itu membawa haluan masing-masing. Nazma harap muslimin itu akan meneruskan hidupnya dengan baik dan tidak pernah merasa menyesal melamarnya. Lamaran darinya ini cukup membuatkan Nazma rasa dihormati,  hanya doa mampu Nazma berikan,
"Semoga Allah merahmati dirimu"

Saturday, March 19, 2011

Lamaran Kedua

"Last paper, nanti tak payah sakit2 kepala study dah!", riang Nazma sebab tinggal sejam saja lagi masa peperiksaan subjek Pharmacology. Subjek terakhir untuk semester ini, merangkap kertas peperiksaan terakhir untuk kursus Diploma Farmasi yang diikutinya. Di kala yang lain sibuk menjawab exam, Nazma boleh saja mengelamun. Bila tersedar, terus saja Nazma memeriksa jawapan2nya di kertas ujian. Walaupun Nazma tidak minat dan suka dengan bidang ini, namun, Nazma tetap bersungguh2 menghabiskan kursus itu dengan cemerlang. Sudah 2 tahun Nazma bersabar dengan stress dalam mengikuti bidang yang begitu asing dengan dirinya. 


Gambar Hiasan
Di hujung tahun pertama, pernah terdetik di hatinya, ingin menghentikan mengikuti kursus ini. Tapi, Nazma tidak mahu menghampakan harapan keluarganya yang begitu gembira dengan bidang ini. Nazma hanya menyembunyikan perasaannya.Dia hanya insan biasa yang lemah, beberapa kali dia jatuh, dan Allah datangkan seorang penolong dari sisiNya iaitu Zinnirah, sahabat Nazma, yang sentiasa menemani dan memberi semangat pada Nazma. Nazma terus melangkah meneruskan perjuangan ilmunya di kampus itu, kerana itulah harapan ibu dan ayahnya.

"Naz, nanti ada program kepimpinan lepas final exam ni, nak pegi tak?", tersentak Nazma dari lamunannya saat Zinnirah datang bertanya. "Program kepimpinan? O.. Naz pun ada orang tanya nak gi tak aritu, memang berniat nak pergi. Bolehlah kita pergi sekali ye". Nazma dan Zinnirah sentiasa bersama dalam program2 dan aktiviti2 di kampusnya. 


Cuti semester kali ini, Nazma akan membawa pulang semua barang2nya. Setelah kepenatan menyimpan barang2nya, Nazma terus berangkat ke tempat program. Setelah beberapa hari mengikuti program kepimpinan itu, Nazma pulang ke kampungnya.


Gambar Hiasan


Bermula di tempat program lagi, Nazma mulai rasa kurang sihat. Setibanya di kampung, dia demam. Mungkin terlalu penat dan sibuk dengan final exam diikuti dengan program. Setelah makan Panadol, Nazma berehat di biliknya. Mengelamun dan merenung masa depannya.


Nazma tersentak dari lamunannya bila handfonnya berbunyi menandakan ada mesej baru. "Assalamuaikum, Naz. Apa khabar? Sihat tak? Bila Naz free ye? Akak ada nak bincang dengan Naz, tapi akak nak Naz sihat2 dulu.", mesej Kak Madihah, yang sememangnya sedia tahu Naz yang kurang sihat.


"Apa yang Kak Madihah nak bincangkan sampai kena tunggu Naz sihat dulu, penting sangatkah hal tu? Dan adakah ia berkaitan dengan hal yang sama seperti dulu?", pelbagai andaian muncul di benaknya. Nazma yang masih lemah menyatakan yang dia masih kurang sihat. Nazma menyarankan Kak Madihah menghubunginya keesokan hari, biiznillah, Nazma sihat selepas mendapatkan rehat yang cukup.


Alhamdulillah,segala puji bagi Yang Maha Menyembuhkan segala penyakit, Nazma beransur sihat. Petang itu, Kak Madihah call Nazma.


Selepas bertanya khabar semua, Kak Madihah memulakan perbincangan itu."Kali ni, kak harap Naz tenang2, pikir baik2, sebelum bagi kak apa2 jawapan ye. Amiklah sebanyak masa yang Naz nak tuk fikir. Muslimin hari tu, melamar Naz kali kedua melalui akak."


Renungilah setiap kejadianNYA...


Benarlah andaian Nazma. Sangat tepat sekali. Ingin sahaja diberitahu terus diberitahu jawapan hatinya. Sebab Nazma belum bersedia lagi. "Kak, Naz ase tak payah bagi masa, Naz dah ada jawapannya. Naz belum bersedia kak. Bukan sebab siapa orang yang melamarnya, tapi, sebab diri Naz belum bersedia. Lagipun, terlalu banyak benda yang Naz ase Naz kena betulkan, Naz masih banyak kurangnya kak"


Kak Madihah sudah mengagak jawapan yang akan keluar dari mulut Nazma, namun, Kak Madihah hanya melaksanakan amanah yang diterimanya. Jika setelah dalam tempoh seminggu, Nazma masih memberikan jawapan yang sama, mungkin, inilah yang terbaik,.


"Berdoalah kepada Allah"
"Kita merancang, dan Allah pun merancang, namun, perancangan Allah yang terbaik".

Lamaran Pertama

Petang itu, setelah kepenatan membaca buku "Study in Pharmacology", cepat-cepat Nazma merebahkan badannya di tilam katil asramanya. Melepaskan lelah menghafal sistem2 dalam tubuh badan manusia. Di penghujung semester 4 pangajian Diploma Farmasi, inilah minggu yang sangat memenatkan, dipenuhi dengan ujian, kuiz, juga tugasan. Baru sahaja hendak terlelap, ada mesej masuk ke handfon Nazma.


Gambar Hiasan

"Assalamualaikum, Dik Nazma. Sibuk ke? Nanti bila free, akak nak jumpa ye. Ada hal penting akak nak bincang. Akak nak jumpa adik sorang je tau", mesej daripada Kak Madihah, senior Rakan Surau di kampusnya. Nazma merasakan pelik dengan Kak Madihah, mungkinkah Nazma telah membuat apa2 kesalahan, getus hati kecil Nazma. "Ok, insyaAllah, Nazma free tengahari esok, kita jumpa di Surau Sakinah ye".

Seperti yang dijanjikan, Nazma bersua muka dengan Kak Madihah di Surau Sakinah. Namun, bukan mereka berdua sahaja di sana, beberapa pelajar lain sibuk menngulangkaji dan menghafal. Kak Madihah menyuruh Nazma supaya bertenang dengan apa yang akan diperkatakannya. Berdebar Nazma menanti apa yang ingin disampaikan Kak Madihah.

"Naz, jangan terkejut tau. Camni, ada seorang senior Rakan Surau ingin melamar Naz. Dia ingin jadikan Naz suri dalam hidupnya. Dia benar2 yakin dengan petunjuk istikharah yang Allah telah hadirkan padanya. Harap Naz pertimbangkan sebaik-baiknya ye", setiap kata2 Kak Madihah diteliti oleh Nazma, dan degupan jantungnya semakin laju.


Siapakah dia?

Nazma terkedu. Dan Kak Madihah menghadiahkannya satu senyuman dan kembali menyambung kata2nya,
"Dia baik, Naz. Dia tua setahun daripada Naz. InsyaAllah, dia boleh bimbing Naz".

Dalam fikiran Nazma, tidak tergambar pun siapakah muslimin itu. Dan dia tidak berniat pun untuk cuba ambil tahu siapakah dia. Kerna, saat itu, Nazma hanya memikirkan test2, kuiz2 dan assignment2 yang menantinya. Namun, Nazma merasakan dia perlu juga memohon petunjuk dariNya, walaupun hati kecilnya sudah menolak lamaran itu.

Perjumpaan singkat dengan Kak Madihah tadi, benar2 mengganggu dirinya. Entah, tidak tahu kepada siapa mahu mengadu. Tiba2, Nazma teringatkan abangnya, Mujahid. Diluahkan segala2nya kepada abangnya. Sangat janggal. Nazma jarang berkongsi masalah dengan abangnya. Tapi, kali ini, hatinya memilih Abang Mujahid sebagai tempat rujukan.

Abang Mujahid tenang saja mendengar Nazma mengadu. Dan pesannya cukup ringkas dan padat. "Naz, solat istikharah, mintak petunjuk dari Allah, jangan risau, selagimana Allah ada bersama, tiada apa yang Naz perlu risaukan. DIA tahu yang terbaik tuk hambaNYA".

Nazma cuba menenangkan dirinya yang resah. Ada jugak Abang Mujahid menanyakan ciri2 muslimin itu, tapi, Nazma hanya mengetahui muslimin itu adalah senior Rakan Surau. Itu sahaja.

Selama beberapa hari, Nazma melakukan istikharah. Namun, hatinya tidak juga tenang. Macam2 yang difikirkannya. Hinggalah, tiba hari yang dijanjikan olehnya pada Kak Madihah untuk memberi jawapannya.

"Maaf, kak. Lama masa yang Naz amik tuk pertimbangkan hal ni. Naz mintak maaf, kak. Naz belum bersedia. Belum tiba masanya,kak. Naz nak fokus belajar, masih jauh lagi perjalanan Naz sebelum menempuh alam tu, kak. InsyaAllah, Naz yakin, inilah yang terbaik. Kak, tolong mintak maaf pada muslimin tu, dan bukanlah Naz memilih atau apa2, tapi, satu sahaja, Naz belum bersedia. Juga, ucapkan terima kasih kerna memilih Naz. Maaf jugak sebab buat dia menunggu seminggu untuk jawapan Naz".


Memilih haluan sendiri

Nazma lega, satu masalah yang membuatkannya resah, kini telah selesai. Dan dia hanya perlu usaha untuk semester terakhirnya di kampus. Mulai semester hadapan, Nazma tidak perlu risau dengan test, kuiz dan assignment lagi. Kerna, dia akan menjalani latihan praktikal Diploma Farmasi di hospital selama 11 bulan. InsyaAllah, setelah itu, menamatkan pengajian Diploma Farmasi yang telah diikutinya sejak 2 tahun yg lepas. Seterusnya, Nazma akan meneruskan pengajian dalam bidang lain, melakukan apa yang dia minat. Bukan lagi, asyik menangis di saat menjelangnya test,kuiz dan final exam kerna melakukan sesuatu dengan terpaksa, bukan lagi, sukarela. InsyaAllah, smuanya itu di dalam percaturanNya, setelah merancang dan berusaha, maka bertawakkal hanya kepadaNYA...

Secebis Kata

Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah wa syukurillah, hanyalah padaNya, pemilik segala hati. Saat ini, sudah 8 hari diri Nazma bergelar seorang isteri. Nazma selamat diijabkabulkan dengan 'Ustaz Zauj" pada hari Jumaat, 11/03/11. Alhamdulillah, juga puji padaNya,selamat sudah majlis walimah mereka di rumah Nazma dan jugak Ustaz Zauj.





Nazma berkahwin di usia 21 tahun 5 bulan 10 hari. Nazma yang senyap-senyap sahaja, tiba2 berkahwin. Sudah tentu, ianya menjadi satu persoalan kepada teman2 dan kenalan2nya. Bertubi2 Nazma ditanyai dengan soalan yang sama. Antaranya, "Mudanya nak kawen, da bersedia ke?"... "Bertunang, tak bagitau pun, tup2, dah nak kawen?"... "Macam mana boleh jumpa Ustaz Zauj?"... "Macam mana boleh terima Ustaz Zauj?"...

Demi merungkaikan segala persoalan teman2 dan kenalan2 yang disayangi, setelah mendapatkan keizinan dari Ustaz Zauj, Nazma akan menulis KISAH KAMI secara bersiri.

Namun, KISAH KAMI ini bertujuan untuk meraikan teman2 yang ingin mengetahui kisah ini, mengambil apa yang baik dari kisah ini, dan meninggalkan apa yg tak baik dari kisah ini. Jika yang baik dan cantik itu, semuanya datang dari percaturan Allah, Yang Maha Bijaksana dalam mengatur hidup kita, namun, jika yang tak baik dan tak elok itu, semuanya datang dari  hamba yang lemah lagi alpa.

~SELAMAT MENGIKUTI KISAH KAMI~

Gambar Hiasan. Credit to Danang.

Perjuangan dalam pernikahan ini masih panjang selagimana hayat masih dikandung badan. Matlamat pernikahan ini bukan mudah dan senang tuk digapai. Pastinya, ujian dan dugaan silih berganti, kerna itulah tanda kasih sayang Nya. Pengembaraan ilmu Nazma dalam menuju Ilahi diteruskan lagi,... Bersama Ustaz Zauj.