Thursday, March 24, 2011

Lamaran Ketiga Melalui Abang Mujahid

Sepanjang Nazma menjalani latihan praktikalnya di hospital, dia kerap berulang-alik dari rumah sewa dengan rumah orang tuanya. Hujung minggu kali ini, Nazma tidak sabar untuk pulang berjumpa ibunya. Ibunya yang sentiasa menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Setiap suka dan dukanya.

Ibunya sentiasa bertanyakan mengenai latihan praktikalnya. Seperti biasa, Nazma menceritakan suka dukanya di hospital. Terubat semuanya apabila ibunya sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Di dalam perbualan kali ini, Nazma menceritakan mengenai muslimin itu kepada ibunya. Nazma sentiasa menceritakan mengenai mana-mana lelaki yang cuba mendampinginya kepada ibunya, tapi, kali ini, Nazma berbeza sekali. Dan niatnya bercerita hanya untuk berkongsi perasaannya sahaja, kerna dia tahu semuanya sudah berakhir.


Selesai menceritakan mengenai muslimin itu, ibunya menanyakan soalan bertubi-tubi kepada Nazma. "Dia kat mana sekarang? Dia buat apa sekarang?". Nampaknya lain ekspresi ibunya berbanding kebiasaannya. Kali ini, seakan ibu berkenan benar ingin mengetahui mengenai muslimin itu. "Dia sambung belajar ke luar negara." Ringkas sahaja jawapan Nazma. "Sayang kan, Naz. Ibu rasa baik budak tu, mengajar kat masjid, jadi imam. Tapi, nak buat macam mana kan, Naz pun belum habis belajar. Pastu,  Naz tak pernah dapat khabar berita dia dah  ke?". "Tak, ibu", ringkas jawapan Nazma. Kerna, jauh di sudut hatinya, dia juga merasakan seperti apa yang ibunya rasakan. Namun, masanya belum tiba. Biarlah kami membawa haluan masing-masing. Jika kami telah dijodohkan antara satu sama lain, tiada apa yang perlu digusarkan lagi. Yakinlah dengan ketentuanNya.


Pagi itu, Abang Mujahid menelefon Nazma. Abang Mujahid yang sentiasa mengambil berat hal keadaan Nazma. "Assalamualaikum, Naz. Apa khabar? Camna dengan praktikal? Ok?", Abang Mujahid memulakan perbualan. "Alhamdulillah, semua baik2 sahaja. Kenapa Abang Mujahid telefon Naz pagi-pagi ni? Macam ada hal penting ja ni", tanya Nazma bila merasakan kelainan cara Abang Mujahid kali ini.

"Oh, tak de pape lah, saja ja Abang Mujahid telefon. Boleh Abang Mujahid tanya satu hal kat Naz".
Hati Nazma berdebar, sangkaannya makin tepat. "Ada apa Abang, silakan".

"Naz, abang harap Naz dengar baik-baik apa yang abang ingin cakapkan ni. Fikir baik-baik. Jangan bertindak mengikut emosi lagi. Camni, Naz ingat tak muslimin yang melamar Naz aritu? Dia melamar Naz sekali lagi, iaitu kali ketiga, melalui abang Mujahid".

"Ya Allah,...", hanya itu yang mampu Naz lafazkan. Perasaannya bercampur baur. Tidak tahu apa yang harus dia perbuat. Yang pasti, dirinya belum bersedia. Nazma hanya membisu seribu bahasa. Dan Abang Mujahid yang cukup mengenali adiknya itu, meneruskan berbicara :

Nasihat Rasulullah SAW : "Jika datang (melamar) kepadamu orang yang engkau redha akan Agama dan akhlaqnya, maka nikahkanlah (puterimu) dengannya, jika kamu tidak menerma (lamarannya) nescaya terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas" (HR. At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

"Abang nak Naz cuba fikir. Bagaimana agama muslimin itu? Bagaimana akhlak muslimin itu? Rasanya walaupun Naz tidak mengenalinya, Naz pasti dapat merasakannya. Cuba Naz renungkan, di zaman sekarang, mana lagi Naz nak cari muslimin seperti dia? Yang mana, muslimin ini, abang yakin dapat bimbing Naz, dalam mencari redhaNya. Abang tahu citarasa Naz, dan abang tahu dia menepati citarasa Naz. Dan yang membuatkan Naz menolak, bukan apa, sebab Naz takut kan? Naz takut Naz tak dapat kejar cita-cita Naz lagi. Naz takut Naz menghampakan keluarga. Naz fikir semuanya adalah mustahil. Tapi, Naz lupa sesuatu. Naz ada Allah, yang Maha Menolong hambaNya. Jika perkara baik, Naz perlu yakin dengan pertolonganNya... Sebab tiada yang mustahil dengan QudratNya dan IradatNya.", panjang benar Abang Mujahid memberikan pengisian kepada Naz.

Dan Nazma mengakui setiap kata-kata Abang Mujahid. Bukannya dia menolak disebabkan muslimin itu yang melamarnya. Tapi, disebabkan dia tidak mahu keluarganya hampa dengannya. Baginya, dia adalah harapan keluarga. Namun, kata-kata Abang Mujahid banyak membuka fikirannya yang sempit itu. Dan Nazma meminta masa untuknya berfikir, sekaligus, meminta Abang Mujahid berurusan dengan muslimin itu. Ini bukanlah kata putus yang menyatakan Nazma bersetuju. Kerna, Nazma tetap memberikan syarat kepada abang Mujahid iaitu :

"Abang Mujahid yang akan menguruskan semuanya. Dan Abang perlu check muslimin itu terlebih dahulu. Jika dia baik pada pandangan abang, baiklah pada pandangan Naz. Jika abang rasa dia yang terbaik, abang juga lah yang akan memberitahu ibu dan ayah nanti. Jika ibu dan ayah tidak bersetuju, Naz akan ikut apa yang ibu dan ayah nak". Begitu panjang syarat Nazma kepada Abang Mujahid.



"Alhamdulillah, Allah akan menolong benda baik. Naz jangan bimbang. Semuanya akan diuruskan oleh abang. Cuma, abang mintak satu je. Naz, banyakkan solat istikharah, solat hajat, mintak Allah tenangkan hati Naz, juga memberikan petunjuk kepada Naz. Naz jangan pikir banyak sangat, semua tu bisikan syaitan saja tu, yang tak suka kita buat benda baik. Oklah, abang gembira Naz memberikan peluang kepada muslimin itu kali ini.", gembira sekali suara Abang Mujahid. Nazma dapat membayangkan senyuman yang terukir di bibir abangnya itu. Dan Nazma, jauh di sudut hatinya, dia merasakan semuanya sudah dipermudahkan oleh Allah, namun ujian dan dugaan tidak akan pernah berhenti. Dia harus mempersiapkan diri untuk sabar dan tabah jika ini jalan yang dipilihnya.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.