Tuesday, March 29, 2011

Pertemuan Yang Tidak Diduga

Semenjak urusan lamaran oleh muslimin itu diuruskan oleh Abang Mujahid, Nazma tenang melalui hari-harinya. Nazma yakin dengan kebijaksanan dan tulusnya hati Abang Mujahid dalam menilai muslimin itu. Dan sejak hari itu, Nazma tidak pernah berhenti berdoa supaya Allah menunjukkannya jalan yang terbaik di sisiNya, dan segala-galanya hanya bermatlamatkan, Mencari Redha Ilahi.

Melalui hari-hari praktikalnya di hospital selama 6 bulan, kini, Nazma mulai sibuk dengan kertas kerja untuk Final Year Project kursusnya. Bagi mendapatkan khidmat tunjuk ajar dari pensyarahnya, Nazma dan Zinnirah mengambil keputusan untuk merujuk hal itu ke kampusnya. Mereka akan berada di sana selama 2 hari.

Seminggu sebelum bertolak ke kampusnya, Abang Mujahid menghubungi Nazma. Abang Mujahid menyatakan bahawa dia akan berjumpa muslimin itu setibanya muslimin itu di Malaysia .. Muslimin itu akan pulang bercuti ke Malaysia selepas berakhinya semester pertama pengajiannya di bumi China. Abang Mujahid ternyata begitu gembira untuk berjumpa dengan muslimin itu. Tambahan pula, tanpa disangka-sangka, mereka akan berada dalam satu program yang sama, di mana muslimin itu sebagai urusetia program dan Abang Mujahid sebagai peserta program. Begitulah kehidupan dua lelaki ini, yang sentiasa istiqamah dalam program-program yang mendidik jiwa mereka ini. Nazma bangga dengan mereka berdua.


Ajakan Abang Mujahid untuk menyertai program itu juga sangat membuntukan otak Nazma. Dengan kerja projeknya yang bertimbun-timbun, rasanya dirinya tidak mampu untuk ke program itu. Dan alasan yang paling kuat adalah, Nazma tidak mahu bertembung atau berjumpa dengan muslimin itu. Keputusan Nazma sedikit mengecewakan Abang Mujahid yang sangat beria-ia ingin Nazma mengikuti program bersamanya itu.

Setibanya Nazma di kampusnya, Abang Mujahid masih memujuknya ke tempat program, namun, Nazma tetap dengan keputusannya. Mengutamakan apa yang terlebih utama, kerana keberangkatannya ke bumi Penang, adalah untuk menyiapkan projeknya. Kali ini, Abang Mujahid sangat berbeza sekali. Tidak putus asa memujuk Nazma, Abang Mujahid menyatakan bahawa Abang Mujahid ingin berjumpa dengan Nazma di Sungai Petani, jaraknya adalah pertengahan antara kampus Nazma dengan tempat Abang Mujahid. Entah apa yang membuatkan Abang Mujahid begitu, Nazma kehairanan, namun, jauh dihatinya, pasti ada perkara penting yang ingin Abang Mujahid bicarakan dengannya,


Bukannya Nazma tidak mahu berjumpa dengan Abang Mujahid, tetapi, apabila pertemuan itu juga melibatkan muslimin itu. Ini betul-betul membuatkan Nazma tidak selesa. Nazma merasakan yang dia tidak perlu hadir dalam perbincangan abangnya dan muslimin itu. Tetapi, alasannya itu dicantas oleh abangnya dengan hujah-hujahnya, antaranya, "Inilah satu-satunya peluang kita nak berjumpa dan berbincang. Nanti, susah dah nak jumpa balik. Muslimin tu nanti nak kena fly ke China balik. Abang pulak tak tahulah camna". Kata-kata Abang Mujahid ada benarnya, namun, Nazma tetap dengan keputusannya.


Selepas menyiapkan kerja-kerja di kampusnya, Nazma diingatkan oleh Zinnirah mengenai perjumpaan dengan Abang Mujahid. Sebelum ini, Nazma ada menyatakan bahawa jika sudah siap semua kerjanya, dia akan pertimbangkan untuk mengikuti perjumpaan itu atau tidak.  "Ok, jom kita ke Sungai Petani, rasanya masih ada bas ke sana.", tiba-tiba sahaja Nazma menyatakan hasratnya, Zinnirah yang kebingungan dengan tindakan Nazma hanya mengikuti, kerna Zinnirah kenal benar dengan tingkah laku sahabatnya itu.



"Abang, Naz ada kat Perhentian Bas ni. Naz dah amik tiket ke Sungai Petani. Kita jumpa di sana ye". Ringkas sahaja mesej Nazma kepada abangnya. Beberapa minit kemudian, terus sahaja Abang Mujahid call Nazma, suara keriangan kedengaran di hujung talian. Ternyata gembira benar Abang Mujahid, seakan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan Nazma. Di dalam hati Nazma, dia pun tidak faham bagaimana dia boleh mengubah keputusan di saat-saat akhir, mungkin inilah naluri yang Allah hadirkan, jika ianya adalah yang terbaik di sisiNya.... Kerna tiada yang berlaku tanpa izinNya, semua yang berlaku adalah percaturanNya.. Dan yakinlah percaturan Allah yang terbaik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.