Thursday, March 31, 2011

Pemergiannya Sukar Untuk Diterima

Sebaik sahaja pulang dari perjumpaan tadi, Nazma terus merebahkan badannya di atas katil. Kepenatan yang sukar digambarkan. Tubuh badannya letih, tapi, otaknya lagi letih memikirkan masa depannya. Namun, dengan mengingati Allah, hatinya kembali tenang, bila mengingatkan kesungguhan Abang Mujahid dan muslimin itu, hatinya juga rasa tenang. Malam itu, Nazma tertidur dengan fikirannya tidak berhenti memikirkan hal-hal akan datang, Adakah ibu dan ayahnya akan menerima muslimin itu? Adakah ibu dan ayahnya akan membenarkan Nazma menikah dalam tempoh setahun hingga ke dua tahun lagi? Dan yang paling penting, adakah Nazma betul-betul bersedia menerima amanah dan tanggungjawab seorang isteri di usia muda begitu? Semuanya ibarat satu mimpi, namun, Nazma akur dengan ketentuan dan takdirNYA, kerna tidak ada sesuatu pun dalam perancangan Allah yang sia-sia. Nazma meletakkan satu keyakinan yang mendalam, bahawa semua ini pasti ada hikmah yang terbesar dalam hidupnya, dalam terus mengembara mencari ilmu menuju Ilahi.


Hari ini hari terakhir Nazma berada di kampusnya, dan tujuan utama Nazma iaitu merujuk kertas kerja Final Year Project kepada pensyarahnya juga telah selesai. Malam ini, Nazma dan Zinnirah akan menaiki bas ekspres dari bumi Penang ke kampungnya. Pada malam yang sama juga, Abang Mujahid akan menaiki keretapi dari bumi Kedah ke kampusnya di Perak. Dalam perjalanan Nazma pulang ke kampungnya, kadang-kadang naluri hatinya rasa kurang enak. Kebiasaannya, pasti ada sesuatu yang bakal terjadi pada ahli keluarganya. Namun, Nazma hanya memperbanyakkan berdoa semoga seluruh ahli keluarganya dalam lindungan Yang Maha Melindungi.


Nazma dan Zinnirah tiba di pekan kampungnya pada jam 3 pagi. Suasana pagi yang hening itu, dibasahi dengan rintikan hujan, menyebabkan Nazma kesejukan sambil menunggu ayahnya datang menjemput. Beberapa minit kemudian, kelihatan kereta ayahnya berhenti di hadapannya. Nazma bersalaman dengan ayahnya dan pulang ke rumahnya. Sesampainya di rumah, ibu, kakak dan adik-adiknya masih tidur. Nazma masuk ke billiknya untuk melelapkan mata sekejap sebelum waktu Subuh.













"Ya Allah? Accident? Dengan apa? Kawannya meninggal dunia?", suara Kak Wahida yang tengah bercakap di telefon mengejutkan Nazma dari tidurnya. Barangkali ada kawan Kak Wahida kemalangan. Nazma menggapai-gapai telefon bimbitnya untuk melihat waktu saat itu. "3 missed call", tentera di telefon bimbitnya, panggilan yang tidak dijawab dari Kak Insyirah, sahabat Abang Mujahid di kampusnya. Nazma kehairanan. 

Usai sahaja Kak Wahida menamatkan perbualannya di telefon, Nazma terus menanyakan apa yang dibicarakan oleh Kak Wahida di telefon. "Naz... Abang Mujahid... Abang Mujahid...", hanya itu yang keluar dari bibir Kak Wahida dan dia terduduk menangis. Nazma mulai merasakan sesuatu yang musibah benar-benar menimpa keluarganya. Nazma mendekati Kak Wahida dan meminta supaya Kak Wahida bertenang dan menceritakan apa yang terjadi.

"Abang Mujahid,... Dia kemalangan. Dia membonceng motorsikal kawannya ke kampus dari Hentian Bas Tanjung Malim. Dalam perjalanan tu, mereka kemalangan dengan lori. Kawan Abang Mujahid yang menunggang motorsikal tu meninggal dunia di tempat kejadian... Abang Mujahid kita, dia mengalami pendarahan dalaman di perutnya, Sekarang, dia sedang dibawa ke hospital berdekatan...", setiap kata-kata yang keluar dari mulut Kak Wahida sukar untuk Nazma menerimanya. Terus sahaja otaknya ligat mengingati saat-saat bersama Abang Mujahid, senyuman Abang Mujahid, kegembiraan Abang Mujahid dan semangat Abang Mujahid.



 Nazma sekeluarga bergegas ke Perak, dan dalam masa yang sama, keadaan Abang Mujahid belum stabil. Sudah dipindahkan ke beberapa buah hospital, dan keadaannya semakin teruk. Ketika dalam perjalanan, Nazma sekeluarga tidak pernah putus berdoa supaya Allah menyelamatkan Abang Mujahid. Tiba-tiba, ada satu panggilan masuk ke telefon bimbit ayah Nazma. "Ya, saya ayahnya,... Innalillahi wainna lillahi raji'un", kalimah itu membuatkan Kak Wahida, Nazma dan ibunya menangis dengan lebih kuat, tidak dapat ditahan lagi rasa yang ditanggung. Dengan menguatkan semangatnya, Ayah Nazma menasihatkan ahli keluarganya itu supaya bertenang dengan ketentuan Ilahi itu. Sabar dengan takdir Ilahi itu.


Sesungguhnya terlalu ramai yang menyayangi Abang Mujahid, namun Allah, pemilik segala hamba, lebih menyayangi hambaNya yang bergelar Mujahid itu. Pada tarikh 11 Januari 2010, perginya seorang Mujahid yang sentiasa istiqamah dalam gerak kerja dakwahnya, perginya seorang Mujahid yang begitu komited dalam gerak kerja Islamnya, perginya seorang Mujahid yang warak, lemah lembut dan sentiasa tersenyum di kala susah dan senang. Perginya seorang Mujahid yang benar-benar membuktikan dirinya seorang yang berjihad di jalan Allah. Dan perginya Mujahid ini, dalam keadaan dia dalam  cita-citanya yang tertinggi, "Syahid di Jalan Allah". Semua yang mengenali Abang Mujahid benar-benar merasakan kehilangan sebutir mutiara ini, dan Nazma paling merasakan kehilangannya Abang Mujahid, kerana dialah ahli keluarga terakhir yang berjumpa dengan Abang Mujahid sebelum Abang Mujahid meninggal dunia.

















"Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu. Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan"
 (Surah Yasin : 82-83)



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.