Sunday, September 11, 2011

Indahnya Perkahwinan Berlandaskan Syariat Islam (2)

Post "Indahnya Perkahwinan Berlandaskan Syariat Islam", yang ditulis 3 minggu lepas, diminta untuk disambungkan lagi. Ada yang menyatakan post itu terlalu pendek, dan merasakan perlunya sambungan.
Setelah difikirkan kembali, ana bersetuju untuk menyambung lagi post tersebut. Ana pastilah bukan orang yang selayaknya, namun, ana cuba berkongsi pengalaman diri yang serba kekurangan ini juga.

Ana quote kembali dari post yang lepas, 
Sejauh manakah kebenarannya perkenalan sebelum perkahwinan? Bukankah kita hanya diperdaya dengan tipu daya syaitan? Ingatlah, sahabat-sahabat bahawa, "keberkatan sebuah perkahwinan bukan bermula dari saat akad nikah sahaja, namun, ia sudah bermula sejak perkenalan kita lagi, kaedah kita ke arah perkahwinan."

Jika sahabat2 mengikuti post2 ana sebelum ini dalam entry "Kisah Kami", pastinya sahabat2 dapat melihat bagaimana perjalanan perkenalan ana dengan Ustaz Zauj sehinggalah ke saat lafaz sakinah.  Dek kerana sukarnya tunang ana untuk menghubungi ana, dia mengambil inisiatif bijak, dengan selalu menghubungi ibu dan ayah ana. Ustaz Zauj mengerti yang dirinya tidak akan dihiraukan oleh ana selagi mana kami belum sah bergelar suami isteri. Maklumat terkini tunang ana lebih dahulu diketahui ibu dan ayah ana, seakan-akan ana dan tunang ana bukan siapa-siapa. Ramai orang terdekat dengan ana kehairanan melihatkan tingkah kami ini. Dan keadaan yang sama terjadi pada keluarga Ustaz Zauj. Waktu pertunangan kami adalah selama setahun, dan urusan perkahwinan hanya diuruskan 3 bulan sebelum perkahwinan.

Ana akui bukan mudah untuk menjaga hati di dalam tempoh bertunang, ujiannya amat kuat. Kadang-kadang, hati akan tersasar dari yang haq, namun, kembali lah kepadaNya, kerana DIA Maha Penerima Taubat. Sentiasalah berdoa moga Allah teguhkan hati kita untuk mengikuti syariatNya.

Saat ini, ana bersyukur kepadaNya, kerana sentiasa menjaga kami dalam tempoh kami tidak halal dulu. Bila merasakan begitu banyak nikmatNya bermula saat pernikahan kami hinggalah sekarang, makin bertambah rasa syukur padaNya. Terasa ini adalah berkatnya perkahwinan kami, hasil dari hubungan yang kami jaga. Dulu, jika kami lebih mengutamakan nafsu, mungkin berkatnya tidak akan terasa seperti sekarang.

Keberkatan ini lebih terasa bilamana waktu susah. Bila budget bulanan Ustaz Zauj menyimpang dari kebiasaan, dan ana pula tidak dapat 'backup' dengan ketiadaan urusan jual beli bulan itu, namun di dalam keadaan itu, kami masih mampu bergelak ketawa, bergurau senda dan saling memberikan sokongan dan dorongan antara satu sama lain.  Merasakan ujian-ujianNya mampu ditempuhi bersama. Setelah kami sama-sama ditarbiyah di alam perkahwinan ini, ikatan kasih sayang di antara kami juga semakin bertambah. Tetapi, yang lebih bermakna buat kami ialah, kami merasakan lebih dekat kepadaNya.

Hari ini, genaplah 6 bulan perkahwinan kami. Sungguh pantas masa berlalu. Kebiasaannya, di hari ulang bulan perkahwinan kami, Ustaz Zauj akan meraikannya dengan membawa ana makan di luar. . Di hari-hari biasa, kami jarang makan di luar, namun, di hari-hari istimewa, dia akan berusaha membawa ana makan di restoran-restoran 'favourite' ana. Namun, hari ini, Ustaz Zauj membuat sedikit kelainan. Usai solat Asar berjemaah, dia memberikan 3 pilihan kepada ana iaitu :

1)Main badminton bersama Ustaz Zauj
2)Belajar kereta bersama Ustaz Zauj
3)'Dating' di Taman Tasik bersama Ustaz Zauj

Ana memilih pilihan ketiga. Sebelum keluar rumah, ana sempat mencapai makanan ringan untuk dibawa bersama. Di sana, kami bergambar dan berjalan melihat alam. Berhenti rehat di bangku sambil makan makanan ringan yang ana bawa. Walaupun kali ini, ana tidak dapat makan di restoran 'favourite' ana, namun, ana masih merasakan kebahagiaan yang sama di taman tasik itu bersama Ustaz Zauj.

Di kala itu, kami terlihat sekumpulan remaja perempuan dan lelaki berjumpa di situ.  Mereka tanpa segan silu bergurau senda. Di satu sudut pula, kami melihat remaja yang ber'couple'. Melihatkan situasi itu, ana mula merasakan tidak selesa berada di situ lama2. Ustaz Zauj yang mengerti, mengajak ana pulang. Kerisauan mula menyelubungi fikiran ana. Pergaulan bebas yang begitu berleluasa di kalangan anak muda hari ini begitu merisaukan. Siapa yang harus dipersalahkan? Tidak perlu menunding jari, tetapi kajilah sejauh mana didikan agama telah kita berikan pada anak-anak ini.

Mungkin ada di antara kita pernah ber'couple'. Mungkin ada di antara kita sedang berjinak-jinak dengan 'couple'. Mungkin ada di antara kita yang sedang hangat ber'couple'. Namun, jika ada setitis kesedaran dalam diri, maka kembalilah kepadaNya.

Ada yang pernah berkata kepada ana, "Bila nak insaf, wat baik ni, nanti orang cop plak?",  Kenapa kita lebih mengutamakan pandangan manusia daripada pandangan Allah? Yang sebenarnya, kita mahu berubah kerana siapa? Kerana manusia atau kerana Allah? Niat itu yang paling utama. Jika kita telah meletakkan niat untuk berubah kerana Allah, insaf dengan kesalahan kita, berhenti melakukan kesalahan itu dan berazam tidak mahu mengulangi kesalahan itu lagi, percayalah, Allah sentiasa menolong kita dalam mengharungi segala tohmahan dan ejekan itu. Tohmahan dan ejekan itu kecil sahaja jika dibandingkan kemurkaan Allah kepada kita.

Firman Allah SWT, Ayat 117, Surah At-Taubah :
"Sungguh, Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, yang mengikuti Nabi pada masa-masa sulit, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang kepada mereka".

Wednesday, August 17, 2011

Indahnya Perkahwinan Berlandaskan Syariat Islam

"Beraninya Nazma kawen muda, kalo aku takutla, apapun tak tahu lagi."
"Betul ke nak kawen? Kau tu muda lagi, belajar tinggi-tinggi dulu, kejar cita-cita, nanti dah kawen, susah taw."
"Baitul Muslim? Sama je ana tengok, bila dah kawen, sunyi je dari program-program."
"Bagaimana saya nak tahu dia adalah jodoh saya dan yang terbaik untuk saya?"
"Apa perasaan lepas kahwin ni? Ada beza tak?"
Sebenarnya, soalan-soalan yang ditanyakan oleh sahabat-sahabat ini, semuanya pernah terlintas di fikiran ana juga. Malahan, pelbagai soalan lagi telah singgah di fikiran ana. Tapi, tatkala diri ana berfikir-fikir dan menghitung baik buruknya langkah ana ke arah perkahwinan, soalan-soalan di bawah kembali menenangkan fikiran yang kusut ini.
"Apa matlamat kita hidup di muka bumi Allah ini? 
"Apa kaitannya dengan matlamat sebuah perkahwinan?"
"Kaedah manakah yang kita ambil  ke arah sebuah perkahwinan itu?"
"Bagaimana pula pentarbiyahan selepas perkahwinan?"
Alhamdulillah,... setinggi kesyukuran kepadaNya, yang telah mengaturkan kehidupan kita dengan begitu indah sekali, jika kita menghayatinya. Selagi mana kita kembali kepada matlamat penciptaan diri kita, insyaAllah, kita akan sentiasa sedar tentang kedudukan kita sebagai seorang hamba. Dan apabila kita senang dengan keputusan yang kita pilih, kita tidak lupa dan terus mengucap syukur kepadanya. Sebaliknya, jika  ujian dan dugaan yang mendatang, kita tidak akan salahkan dengan keputusan yang kita pilih sebelum ini. Kerna, kita yakin dengan perancanganNya yang mengatasi segala perancangan hambaNya.

Dari individu muslim, kepada keluarga muslim, seterusnya masyarakat Islam, kemudiannya negara Islam.
Niat itu merupakan utama dalam setiap pekerjaan. Sama juga dengan perkahwinan.

 Ana quote kata-kata yang sering ana dengar dulu,
"Jika perkahwinan itu merupakan wasilah untuk kita lebih dekat padaNya, kita harus kahwin. Jika perkahwinan itu merupakan wasilah untuk kita terus istiqamah dalam perjuangan Islam, kita harus kahwin. Jika dengan perkahwinan itu juga, kita dapat menjaga level iman kita yang sekarang daripada jatuh, kita harus kahwin. Namun, kahwin bukanlah semudah yang dijangka, tapi, berusahalah semampu dan letaklah keyakinan hanya padaNya".

Matlamat sebuah perkahwinan mestilah seiring dengan matlamat penciptaan kita di muka bumi ini.

Bagaimana pula dengan kaedah yang kita guna ke arah perkahwinan? Bagaimana mengenali 'si dia'? Bercouple terangan-terangan? Couple Islamik? Atau letaklah apa sahaja istilah lain. Zina hati itu tidak dapat dilihat oleh orang luar, hanya empunya hati yang benar-benar mengerti. Sejak di bangku sekolah, ana sukar untuk mengenali sahabat lelaki, sehinggakan sahabat-sahabat yang mengenali diri ini kehairanan bagaimana ana berkenalan dengan Ustaz Zauj.

Bagi ana, perkenalan sebelum perkahwinan bukanlah segala-galanya. Ana akui ana tidak mengenali siapa Ustaz Zauj yang sebenarnya. Namun, selepas tinggal sebumbung dengan Ustaz Zauj, ana mula mengenali Ustaz Zauj. Dan Alhamdulillah, Allah memberikan yang terbaik bagi ana.

Sejauh manakah kebenarannya perkenalan sebelum perkahwinan? Bukankah kita hanya diperdaya dengan tipu daya syaitan? Ingatlah, sahabat-sahabat bahawa keberkatan sebuah perkahwinan bukan bermula dari saat akad nikah sahaja, namun, ia sudah bermula sejak perkenalan kita lagi, kaedah kita ke arah perkahwinan.

Kenapa kita gusar pasangan kita bukan yang terbaik, tapi risaulah jika kita tidak mampu berikan yang terbaik buatnya? Kenapa kita gusar tidak mampu berikan yang terbaik kepada pasangan kita, tapi risaulah jika kita tidak mampu berikan yang terbaik pada Allah? "Jika kita menjaga hak Allah, Allah akan menjaga semua hak kita", jadi, apa yang perlu digusarkan lagi dengan janji Allah ini.

Seterusnya, pentarbiyahan selepas perkahwinan. Ana akan sambung pada post seterusnya. Post ini akan berterusan selagi mana ana terus ditarbiyah di dalam ikatan perkahwinan ini, InsyaAllah.

Di sini, ana tujukan khas lirik lagu Kasihmu Amanahku dari In-Team ini.. Hayatilah bait-bait lagu ini, yang terkandung nasihat dan pedoman untuk pasangan yang akan berkahwin, baru berkahwin, sudah lama berkahwin. Mungkin kita kadang-kadang alpa dengan tugas kita sebagai isteri/suami, namun kembalilah pada syariatNya, itulah yang lebih manis buat kita.

Pernikahan menyingkap tabir rahsia
Suami isteri inginkan keluarga yang bahagia
Dan mengharapkan sebuah bahtera indah
Untuk bersama belayar ke muara

Pernikahan, menginsafkan kita

Perlunya iman dan takwa, meniti sabar dan redha
Bila masa senang syukuri nikmat Tuhan
Susah mendatang tempuhi dengan tabah

Isteri janji telah dipateri

Diijab kabulkan dan dirahmati
Detik pertemuan dan pernikahan
Yang dihujani air mata kasih
Demi syurga Ilahi

Suami jangan menagih setia
Umpama Hajar dan setianya Zulaikha
Terimalah seadanya yang terindah
Di lubuk hatimu
Isteri adalah amanah buatmu

Pernikahan mengajar tanggungjawab bersama suami dan isteri


Isteri hamparan dunia

Suami langit penaungnya
Isteri ladang tanaman
Suamilah pemagarnya
Isteri bagai kejora
Suami menjadi purnama
Tika isteri beri hempedu
Suami tabah menelannya

Tika suami terteguk racun

Isteri carilah penawarnya
Sungguh isteri rusuk yang rapuh
Berhati-hatilah meluruskannya

 
 

Ujian Itu Manis Apabila Sabar Menjadi Kuncinya

Sebaik sahaja pulang dari pengembaraan di bumi yang subur dengan dakwah, semangat untuk terus mengembara mencari ilmu semakin membuak-buak. Nazma berjumpa dengan Pak Su Aziz untuk berbincang mengenai penempatannya. Namun, memandangkan bilangan pelajar yang penuh waktu itu, proses penempatan Nazma tidak dapat dilakukan segera.

2 minggu berikutnya, Nazma berjumpa Pak Su nya sekali lagi, baginya, dia tidak boleh berterusan membiarkan dirinya lalai tanpa berbuat apa-apa di rumah. Meihatkan kesungguhan Nazma, Pak Su Aziz usaha semampunya untuk memohon penempatan Nazma. Namun, semuanya bergantung kepada penempatan di Madrasah, jika ada kosong, Nazma boleh masuk seawal mungkin.

Nazma terus berharap. Dirinya mengerti inilah ujian yang harus dilaluinya, dan ujian di sana mungkin lebih berat buat anak manja seperti Nazma. Nazma pernah menjalani kehidupan pondok selama seminggu bersama Kak Wahida. Dan Nazma sering mendengar yang kehidupan di madrasah sukar bagi anak manja sepertinya. Apatah lagi, di sana, semuanya kena berdikari.

Pengembaraan ilmu menuju Ilahi itu pastinya dihidangi dengan onak liku, pastinya tidak dihamparkan dengan permaidani mewah. Jalan menuju Ilahi pastinya tidak senang, jika tidak masakan Rasulullah SAW sendiri diuji sewaktu menyampaikan Islam. Nazma nekad, kerana inilah hasrat besarnya, untuk menimba ilmu dan pengalaman di madrasah. Moga segala urusannya dipermudahkan oleh Allah.

Usai solat Subuh dan membaca Al-Quran, Nazma kembali menghadap skrin laptopnya. Sepanjang Nazma berada di rumah, dia mengisi masa terluang dengan menolong perniagaan membina laman website pelanggan-pelanggan adiknya. Nazma minat dalam bidang rekagrafik, jadi, minat serta bakat yang terpendam itu digunakan untuk menolong adiknya yang kian sibuk. Di samping itu, Nazma mendapat sedikit habuan sebagai upahnya bekerja.

Nazma pernah bersembang dengan adiknya, mengenai bekerja dari rumah. Melihatkan kejayaan adiknya, jauh di sudut hatinya, Nazma menyimpan hasrat  untuk bekerja di dalam rumah, serta dalam masa yang sama dia mendapat kepuasan dalam kerjanya nanti. Yang terpenting dan terutama, perniagaan design secara online itu juga adalah salah satu uslub dalam berdakwah, yang tinggal sejauh mana kita mahu mengaplikasikannya. Nazma gemar berdiskusi dengan adik lelakinya itu, Adik Azwan. Walaupun umurnya baru mencecah 17 tahun, namun, di dalam beberapa perkara, dia matang dalam berfikir.

Sedang Nazma khusyuk menghadap laptopnya, telefon bimbitnya berdering. Tertera nama "Pak Su Aziz" pada skrin telefon bimbitnya. Setalah berbincang hampir 15 minit dengan Pak Su Aziz, Nazma kembali menghadap laptopnya. Agak hampa, apabila Pak Su Aziz mencadangkan dia memulakan pengajiannya selepas 15 Syawal nanti. Ini kerana tinggal 2 minggu sahaja lagi sebelum 15 Syaaban. Pengajian di madrasah akan tamat pada 15 Syaaban serta akan bermula kembali pada 15 Syawal.

Nazma tidak dapat menumpukan perhatian pada kerjanya lagi. Pak Su Aziz ada bagi pilihan untuk pergi 3 hari lagi, terpulang pada dirinya. Berdoa dan terus berdoa. Akhirnya, Nazma nekad untuk pergi 3 hari lagi, walaupun hanya sempat belajar selama 2 minggu, baginya itu sudah menjadi nikmat yang besar buatnya.

Setelah berbincang dengan kedua ibu ayahnya, Nazma menyiapkan barang-barang yang akan dibawanya ke madrasah. Saat sedang mengemas barangnya, terdetik perasaan takut, risau dan sebagainya. Di sana nanti, tiada siapa yang dikenalinya, dan Nazma tertanya adakah dia cukup kuat untuk belajar berdikari di sana? Namun, bisikan-bisikan itu ditepisnya, dia harus kuat, sesiapa yang bergelar hambaNya, pasti akan diuji. Di mana jua dia berada, dia akan terus diuji. Kerana itulah tujuan penciptaannya di muka bumi ini.

Diiringi hujan yang lebat dari rumahnya, Nazma keluar dari pintu rumahnya, ke tempat yang begitu asing buat dirinya. Dia yakin yang jalan yang dipilihnya ini mampu mendekatkan dirinya kepada Ilahi. Semakin dekat dengan madrasah, hujan semakin lebat. Ayah memandu dengan perlahan kerana jalan yang agak licin dan pandangan hadapan yang kabur. Pak Su Aziz mengukir senyuman serta berkata, "Hujan lebat sangat, menandakan berkat Nazma nak belajar ni". Kata-kata Pak Su Aziz benar-benar menusuk kalbu Nazma. Ada betulnya kata-kata Pak Su Aziz, yang utama adalah Nazma harus sentiasa perlu tajdid niat belajar, iaitu demi mencari redha Allah.  Nazma juga harus bersedia dengan ujian yang telah disediakan buat seorang pengembara ilmu, dalam perjalanan menuju Ilahi.






Thursday, August 11, 2011

A New Entry : "Baitul Muslim, Baitul Haraki"


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran atas segala nikmat kurniaanNya yang tidak pernah putus untuk hamba-hambaNya. Entry ini mula ditulis pada hari genap 5 bulan pernikahan ana dengan Ustaz Zauj.  Banyak ujian dan dugaan yang ana hadapi untuk terus menulis, antaranya kekangan masa yang dipenuhi dengan tanggungjawab seorang isteri, juga seorang pengurus dalam satu syarikat serta tugasan juga aktiviti luar setiap hujung minggu. Di waktu ana menghitung-hitung kesibukan ana, sebenarnya ana terlupa bahawa tugas sebagai seorang daie tidak terhenti. Syukran buat Ustaz Zauj yang sentiasa mengingatkan diri ini yang mudah lalai dan alpa.


Kenapa entry ini ditulis? Sebagai tanda kesyukuran ana atas segala nikmatNya yang tidak terhitung. Sebagai salah satu cara untuk diri ini berfikir dan bermuhasabah. Sebagai salah satu wasilah untuk ana sentiasa on track dalam "Pengembaraan Menuju Ilahi". Dan satu-satunya sebab penting entry ini ditulis di sini adalah salah satu cara ana berkongsi dengan sahabat-sahabat ana.

Dihujani dengan soalan-soalan mengenai perkahwinan, ana rasa bertanggungjawab untuk menulis perkongsian ilmu ini. Dengan usia perkahwinan yang masih terlalu singkat ini, ana  kongsikan setakat kemampuan ana. Ana bukanlah orang yang selayaknya, maka, segala yang baik boleh dijadikan ikutan, segala yang tidak baik, mohon tidak diikut serta tegurlah diri yang serba kekurangan ini.
 
Inilah antara soalan-soalan yang ditanyakan kepada ana.
"Beraninya Nazma kawen muda, kalo aku takutla, apapun tak tahu lagi."
"Betul ke nak kawen? Kau tu muda lagi, belajar tinggi-tinggi dulu, kejar cita-cita, nanti dah kawen, susah taw."
"Baitul Muslim? Sama je ana tengok, bila dah kawen, sunyi je dari program-program."
"Bagaimana saya nak tahu dia adalah jodoh saya dan yang terbaik untuk saya?"
"Apa perasaan lepas kahwin ni? Ada beza tak?"

Ana lontarkan kembali beberapa soalan untuk sama-sama kita berfikir dan renungkan.
"Apa matlamat kita hidup di muka bumi Allah ini? 
"Apa kaitannya dengan matlamat sebuah perkahwinan?"
"Kaedah manakah yang kita ambil  ke arah sebuah perkahwinan itu?"
"Bagaimana pula pentarbiyahan selepas perkahwinan?"

Pelbagai persoalan ini akan ana rungkaikan dalam post berikutnya dalam entry "Baitul Muslim, Baitul Haraki".

"Pentarbiyahan baitul muslim tidak terhenti apabila saat lafaz sakinah. Ianya perlu berterusan bagi menjadikan baitul muslim itu kepada baitul haraki yang lebih jelas matlamatnya. Apabila NIAT kita bermasalah, bukanlah NAMA Baitul Muslim itu yang perlu disalahkan, namun, kita sendiri yang perlu bermuhasabah."




Rombongan Ziarah di Bumi Subur dengan Dakwah

Cuaca cerah dengan angin yang nyaman petang itu, seakan-akan serasi dengan jiwa Nazma. Hatinya berasa begitu tenang, seperti telah menyelesaikan satu bebanan yang agak berat buat dirinya. Nazma melangkah keluar dari HUSM, menandkan tamatlah praktikalnya di situ.

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kepadaNya yang telah memberikan Nazma kesabaran dan kekuatan dalam mengharungi onak liku selama ini.

Petang itu, Nazma bergegas pulang ke rumah di Tanah Merah. Malam ini, tepat jam 12 malam, ayah akan menghantar Nazma, Kak Wahida dan Kak Hafizah ke LCCT.. Mereka bertiga dijadualkan akan menaiki pesawat pada jam 4.25 petang.

Dek kerana Nazma sibuk dengan jamuan perpisahan serta beberapa perkara di akhir minggu praktikalnya, perasaannya hambar dan wajahnya tidak dapat menyembunyikan kepenatan dirinya. Nazma  dan Kak Wahida mengikuti rombongan ziarah ke Sabah. Tujuan ziarah itu adalah untuk mengenali dengan lebih dekat bagaimana Islam di negeri yang dikatakan "Bumi Subur dengan Dakwah".

Memandangkan rombongan ziarah kali ini adalah yang paling bermakna buat Nazma, dia mencatatkan satu persatu perjalanan ziarahnya. Memulakan perjalanan ziarahnya itu dengan membetulan niat iaitu,

"Satu Pengembaraan Ilmu Menuju Ilahi ".

Jumaat / 4 June 2010
Flight kami dari LCCT ke Tawau delayed lebih kurang 1 jam.
Alhamdulillah, kami selamat sampai di Lapangan Terbang Tawau  jam 9 malam. Menunggu proses keluarkan barang semua, dalam jam 9.45 malam kami keluar dari lapangan terbang Tawau. Destinasi kami ialah ke rumah sahabat , Kak Laily, yang akan melangsungkan perkahwinannya esok. Agak penat, tapi, kami teruskan juga demi berjumpa dengan Kak Laily.. Hasratnya, ingin membantu walimah Kak Laily, tapi, kehadiran kami sebenarnya sudah agak lambat, jadi, semuanya sudah siap.

Sejurus itu, kami menuju ke tempat penginapan kami. Saat itu jam sudah hampir 12.30 malam. Kami di beri taklimat ringkas oleh Ketua Program Ziarah. Kami diingatkan bahwa waktu Subuh di situ jam 4.30 pagi. Agak terkejut kami dibuatnya, yelah solat jamak takhir maghrib isya' pun belum ditunaikan. Kami pun menyiapkan diri, solat dan tidur.

Hari ini, tidak banyak benda yang dapat dikongsikan. Cuma, aturan program kami agak lari sedikit bilamana flight kami delayed. Tapi, alhamdulillah, semuanya masih under control. Esok, Nazma akan teruskan hari pertama dalam modul Kembara ini...

Sabtu / 5 June 2010
Tak ramai yang dapat berqiamullail pagi ini, jam 4.30 pagi, kami menunaikan solat Subuh berjemaah dan baca Al-Mathurat bersama. . Program kami hari ini bermula selepas solat Zuhur (waktu Zuhur : 12.10 tgh hari). Hari ini santai-santai saja, iaitu walimah Kak Laily. Akad nikahnya jam 1.30 petang. Jadi pagi ini, kami berehat saja di rumah.
credit to I Luv Islam

1.20 petang, kami sudah berada di rumah Kak Laily. Ingatkan kami dah lambat, rupa2nya, tok kadi pun belum sampai. Agak lama menunggu, jam 2 petang, tok kadi sampai, alhamdulillah semuanya berjalan lancar. 

Saat ini, aku sedih melihatkan keadaan Kak Laily. Sepertimana yang kami sedia maklum, orang Bugis ini banyak adat dalam perkahwinan yang perlu pengantin turuti. Hati ini tertanya-tanya bagaimana Kak Laily mahu mengharungi ujian itu? Hanya berdoa Allah kuatkan hati Kak Laily. Pengantin disuruh bersanding bermula 2.00 petang hingga 10.00 malam,.. Adat2 lain dapat Kak Laily mohon agar tidak dilakukan, tapi adat bersanding ini, orang tuanya tidak mengizinkan untuk melanggarnya. Jam 9 malam, Sayu hati ini melihatkan Kak Laily dan Abg Safwan di pelamin lagi. Walaupun begitu, dia sabar, tetap senyum melayan tetamu. Moga Allah bersama kamu, wahai orang2 yang sabar. Bagaimana pula perkahwinan aku nanti? Adakah aku juga mungkin akan menerima nasib yang sama?


Kesimpulan tuk hari ini, pertamanya, bukan mudah untuk melaksanakan hukum Islam bilamana kita bersama2 dengan orang yang kurang mengerti kenapa kita berbuat demikian. Namun, kita yang Allah beri kelebihan kefahaman Islam ini, jangan berputus asa, teruskan berusaha menyampaikan kefahaman Islam. Dan sabar adalah kuncinya dan doa adalah senjatanya. Keduanya, tautan ukhuwwah dapat menguatkan hati2 pejuang dalam menghadapi onak duri dalam perjuangan...



Ahad / 6 June 2010
Jam 9.30 pagi, kami menaiki 'bas henti-henti' ke bandar Tawau. Kami akan mengikuti satu Kuliah Mingguan di Masjid Tawau. Kedatangan kami disambut dengan hujan renyai-renyai. Selesai sahaja kuliah, kami menunaikan Solat Jama' Takdim Zuhur-Asar.

Usai solat, saat yang dinanti-nantikan, sesi dialog bersama Imam Masjid Tawau. Beliau menceritakan pengalamannya sebagai seorang pendakwah.. Disini, pendekatan mereka lebih kepada dakwah, dimana, menyampaikan kepada masyarakat yg masih kurang kefahamannya kepada Islam. Dan disini, mereka lebih folus pada pelajar-pelajar bermula dari umur 5 tahun hinggalah anak-anak ini ke universiti. Jadi, tidak hairanlah di Kuliah Mingguan Masjid Tawau sudah ada anak2 yang masih di sekolah menengah. Pada pandanganku, berbeza dengan di Semenanjung, ulamak ramai,namun masyarkat masih kurang menuntut ilmu agama dek kerana sibuk mengejar keduniaan semata-mata. Seperti di Semenanjung, di Sabah ini juga tidak kurang mehnahnya...  Akhir kata,Imam Masjid Tawau berpesan, di mana saja kita berada, ujian sebagai pejuang tak pernah putus, dan yang pasti, kita tidak boleh berputus asa dengan pertolonganNya, teruskan perjuangan ini selagi hayat kita masih ada.
Kami dibawa berjalan2 sekitar bandar Tawau. Melihat keindahan ciptaanNYA...,
Isnin / 7 June 2010
Hari ini, kami breakfast di rumah seorang sahabat Kak Syahirah. Berangkat dari rumah Kak Syahirah, kami menuju ke Pejabat Agama Tawau. Mendengar diskusi yang cukup menarik dari Pegawai-Pegawai bertugas. Melihat pada aktiviti2 di sana, sama seperti yg diperkatakan olehImam Masjid Tawau, mereka fokuskan pada pelajar2. Namun, ada juga makcik2 dan kakak2 dalam satu program memasak. Di sini, ana dapat lihat kesungguhan pendakwah-pendakwah di Tawau.

Petangnya, kami berangkat dari daerah Tawau ke Kunak. Mengambil masa selama 2 jam, kami selamat sampai di rumah Kak Syuhada di Kunak. Disambut dengan taburan bintang di langit, dengan sapaan angin laut, nyaman udaranya, cukup untuk membuatkan hati ini ingin terus berada di situ. Subhanallah, sungguh agung Allah yang Maha Mencipta. Usai sahaja persiapan diri, kami berborak2 dengan mak ayah Kak Syuhada Seterusnya, kami berehat dan tidak sabar untuk melihat keindahan matahari terbit esok hari. Insyaallah.

Selasa / 8 june 2010
Selesai solat Subuh berjemaah, kami disajikan dengan hidangan rohani. Tajuk Kuliah Subuh ialah Iman dan Taqwa. Usai sahaja kuliah Subuh, kami cepat2 naik ke balkoni atas, untuk melihat 'sunrise'. Subhanallah, tiada ungkapan lain. Sungguh indah ciptaanNya.


Jam 9.00 pagi, kami berjalan dari rumah Kak Syuhada ke pinggir laut...Selepas meredah hutan dan merentas jambatan kayu, akhirnya sampai kami di pinggir laut.
Kedatangan kami disambut oleh anak2 yang sedang mandi2 di pinggir laut itu.
Sambil menunggu bot ayah Kak Syuhada, kami merenung dan menghayati keindahan alam ciptaanNya di bumi Sabah yang masih segar dengan alam semulajadinya...

Alhamdulillah, sungguh cantik percaturanNYA, aku dapat melihat dan memahami dengan lebih dekat perjuangan Islam di sini. Walaupun masih banyak yang kurang pada diri ini, masih banyak ilmu yang perlu dicari,, moga dengan niat ini, Allah kuatkan kami. Insyaallah.. Terlintas di fikiranku, 6 bulan yang lepas, Allah telah mengambil kembali arwah abang ana , yang banyak mendorongku dalam perjuangan ini, yang banyak merungkaikan kekusutan2 yang ku alami, yang sabar dengan kerenahku. Namun hari ini, Allah telah berikan sedikit ilmu dan kefahaman perjuangan Islam pada diriku dan Kak Wahida, yang merupakan antara satu hasrat besar arwah sejak dulu. Alhamdulillah, Ya Rabb... Setiap kejadianNya, terselit hikmahNya. Tiada yang sia2 dalam ciptaanNya.
Dah lihat sunrise, takkan xnak lihat sunset plak...



Rabu / 9 June 2010
Hari ini, kami akan bertolak ke Sandakan pulak. Mengambil masa selama hampir 3 jam, kami selamat sampai di daerah Sandakan lebih kurang jam 1.10 petang. Kedatangan kami disambut dengan hujan yang sangat lebat. 

Malamnya, kami bertaaruf dengan Kak Nazirah, ustazah di Sekolah Agama di daerah itu. Kak Nazirah sudah lama bergiat dengan gerak kerja Islam. Walaupun umurnya baru mencecah 23 tahun, dia sudah pernah bekerja di salah satu pusat tahfiz di semenanjung, selepas pusat tahfiz itu ditutup,Kak Nazirah pulang ke Sabah dan kini, Kak Nazirah sebagai ustazah. Kak Nazirah banyak berkongsi tips dan nasihat bagaimana menghadapi ujian di negeri orang.

Khamis / 10 June 2010
Hari ini kami akan melawat Hutan Sepilok dan Taman Buaya. Ronda2 melihat ciptaanNya. 


Jumaat / 11 June 2010
Kami berangkat dari bumi Sabah jam 10.25 pagi. Dan selamat tiba di LCCT jam 1.30 petang. Selesai sudah kembara kami di 'Bumi Subur dengan Dakwah'. 

Coretan,
Nazma Munirah

Pulang sahaja dari rombongan ziarah, bermakna bermulalah cuti Nazma. Namun, Nazma tidak lupa dengan hasrat besarnya untuk belajar di Madrasah selama lebih kurang 6 hingga 12 bulan sebelum dia meneruskan pengajian Ijazah atau bekerja. Keesokan harinya, Nazma terus berjumpa Pak Su , untuk menguruskan penempatan di Madrasah Pasir Tumboh. Di mana, Madrasah itu memberikan memori indah buat Allahyarham Abang Mujahid, Kak Wahida dan Nazma. Mereka bertiga pernah belajar di situ selama seminggu. Kenangan terindah bersama Allahyarham Abang Mujahid, yang begitu banyak mengajak kami ke arah lebih mengenali Islam.

Tuesday, July 12, 2011

Berakhirnya Sebuah Penantian

Nazma dan Fathullah selamat dikhitbahkan. Tiada sebarang tarikh dibincangkan, memandangkan Fathullah baru sahaja menghabiskan foundation pengajiannya. Fathullah akan kembali meneruskan pengajiannya pada bulan Jun 2010 nanti. Manakala, Nazma pula berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, selepas menamatkan Diploma Farmasi yang tinggal lebih kurang sebulan sahaja lagi.


Selepas sehari bercuti rehat, Nazma kembali ke rumah sewanya seperti biasa. Apa yang diagaknya benar-benar berlaku, sejak melangkah ke rumah sewanya, sahabat-sahabatnya tidak berhenti mengusiknya. Tiada sepatah kata yang keluar dari mulut Nazma, hanya senyuman menjadi jawapan setia bagi setiap soalan sahabat-sahabatnya. Mungkin ada yang dapat mengagak yang dia memohon cuti untuk bertunang, namun, dek kerana kebisuan Nazma, mereka seperti kebingungan dengan status Nazma yang sebenarnya.


Nazma bukanlah bermaksud mahu mengasingkan sahabat-sahabatnya, namun, baginya, bukanlah Majlis Pertunangan yang utama dan perlu dihebahkan, bahkan PERNIKAHAN itu yang lebih utama dan wajib dihebahkan. Memegang kepada prinsipnya itu, Nazma mungkin membuatkan ramai yang terasa hati dengannya kerana tidak dimaklumkan tentang hari pertunangannya. Situasi hari ini, Majlis Pertunangan adalah antara agenda penting dalam kehidupan seseorang. Dan majlisnya bukanlah biasa-biasa, sudah seakan Majlis Perkahwinan. Nazma pula dengan caranya, melakukan sesuatu dengan apa yang difahaminya dan apa yang dipegangnya.

Meneruskan hari-hari terakhir dalam kamus kehidupan praktikalnya, Nazma merasakan dia mulai melihat sinar kebahagiaan. Hatinya seakan-akan riang kegirangan. Dia bakal melakukan sesuatu yang memenuhi minatnya. Tanpa tertekan, tanpa kerisauan juga kebimbangan. 


Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kepada Ilahi yang telah menguatkan dirinya hingga ke tahap ini. Sehingga dia berjaya menelan pahit manis dalam menuntut ilmu bidang Farmasi ini. Dan, di situlah Nazma ditarbiyah dan   terus ditarbiyah sehinggakan dia merasakan sungguh berbeza dirinya berbanding 3 tahun yang lepas. Percaturan Allah yang cukup indah, dan, terlalu banyak nikmatNYA yang tidak terhitung.


4 Jun 2010, merupakan hari terakhir Nazma berpraktikal. Nazma dan sahabat-sahabatnya berjumpa dan bersalaman serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada staf Hospital yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada mereka. Juga, melayani kerenah mereka yang masih keanak-anakan itu. Ilmu yang cukup berguna untuk mereka di masa hadapan. Bukan sahaja untuk masyarakat, terutamanya ilmu itu bekalan untuk diri mereka sendiri. Dan berakhirlah sebuah penantian yang cukup lama, akhirnya, Nazma bakal mencorakkan sekali lagi perancangan masa depannya. Walaupun begitu, Nazma sentiasa akur bahawa, dia merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah yang terbaik. Nazma redha dengan segala ketentuan Ilahi di hari mendatang.

Wednesday, May 25, 2011

Majlis Khitbah Fathullah & Nazma



2 bulan berlalu, Nazma melalui hari-hari praktikalnya di HUSM dengan hati yang semakin tenang. Walaupun, perancangan masa depannya masih kabur. Dia seperti tidak tahu arah tujuan hidupnya, matlamat hidupnya tiba-tiba kian kabur. 




Dahulu, apa yang dikejarnya hanyalah pengajian akademiknya. Sejak di bangku sekolah, dia belajar bersungguh-sungguh demi mendapat keputusan yang tinggi dalam peperiksaan. Dan dia merasai kepuasan, bila dia berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di setiap peperiksaan besarnya. Dan tujuan belajarnya hanya untuk mendapat sijil yang baik, menyambung pelajaran ke universiti dan bekerja dengan kerajaan. Itulah yang dilihatnya, dan baginya itu adalah satu kejayaan besar. Namun, jiwanya kosong. Dia sering tertanya sendirian, apakah yang belum lengkap dalam dirinya. Namun persoalan itu seakan sukar dicari jawapannya.


Sebagai satu hijrah, Nazma menanamkan satu niat yang cukup bererti buatnya, saat melangkah ke kampus pengajiannya, Nazma tidak ingin mengejar pengajian akademik semata-mata, dia mahu mendidik jiwanya yang kosong itu dengan menyuburkannya dengan benih-benih ilmu agama. Nazma yakin ini adalah hijrahnya. Dan dia sentiasa memohon dipertemukan dengan seorang penolong yang dapat memimpinnya ke jalan menuju Ilahi, iaitu seorang SAHABAT. Di kampusnya, Nazma masih dapat mengekalkan prestasi dalam akademiknya. Namun, sejak 2 tahun kebelakangan ini, dia semakin kurang semangat dengan bidang akademik yang diceburinya. Entah kenapa. Dia sukar mengungkapkan perasaannya. Namun, dirinya tidak mampu lagi bertahan, melakukan sesuatu dengan tiada minat padanya, melakukan sesuatu dengan terpaksa, melakukan sesuatu yang tidak serasi dengan jiwanya. Dia tidak mendapat kepuasan yang dia dapat dahulu. Nazma mulai tertekan dengan bebanan pengajiannya.

Mengubah Haluan? Namun, sejauh mana kekuatan yang Nazma ada untuk menghadapi pelbagai ujian dan dugaan nanti? Nazma jarang membantah keputusan besar orang tuanya. Malahan, mengubah haluan yang bakal mengecewakan orang tuanya, tidak mampu difikir oleh otaknya yang lemah itu? Namun, dia tidak boleh berterusan begini, boleh mengundang 'penyakit lain' pula pada masa akan datang.

Nazma lebih gemar bidang Mathematic sejak dulu, dan sejak akhir2 ini, dia juga gemar dalam bidang Computer Designing. Ada sahaja projek yang diambilnya. Nazma pernah menyertai Pertandingan Merekacipta Uniform Praktikal bagi kampusnya, dan rekaannya terpilih. Juga, di kampusnya, dia suka menceburkan diri dalam Unit Multimedia dan sebagainya. Minatnya pada designing hanya suka-suka, namun, memberikannya kepuasan. Dan, dia belajar dari kosong, hinggalah sekarang, dia makin boleh dalam bidang ini. Di HUSM, dia lebih menggemari kerja-kerja yang menggunakan komputer, memasukkan data-data ubat, memasukkan senarai nama ubat, juga, dia pernah cuba mencipta perisian untuk memudahkan pengendalian data-data ubat yang begitu banyak. Namun, kerana masih banyak kelemahan dari sistemnya dan dari hospital sendiri, perisian itu tidak dapat diteruskan. Walaupun begitu, setiap usahanya itu, Nazma mendapat kepuasan, kerana itu adalah minatnya.


Memikirkan apakah yang akan terjadi di masa depannya? Moga setiap keputusannya tidak lari dari matlamat penciptaan dirinya, Pengembaraan dalam Mencari Redha Ilahi. Itulah yang utama. Panjang Nazma termenung, Mengimbas kembali perjalanan hidupnya. Dan lamunannya terhenti apabila telefon bimbitnya berdering. Kak Wahida menelefonnya. 

"Assalamualaikum Naz. Apa khabar? Kak duk urus persiapan pertunangan Naz,ari sabtu ni. Naz ada apa-apa lagi tak yang tertinggal?, tanya Kak Wahida yang begitu banyak membantu menguruskan Majlis Pertunangan Fathullah dan Nazma yang akan berlangsung 3hari lagi.

"Waalaikumsalam, kak. Rasanya tak da pape dah kak. Lagipun, Naz bukan buat majlis besar-besar pun. Naz pun belum habis belajar lagi. Sekarang pun, tengah pening dengan Kertas Kerja Final Year. Yang penting, semua kita dah buat minggu lepas. InsyaAllah, kita doakan smuanya dipermudahkan dan berjalan lancar".

"Ok, tak pa lah camtu. Naz jangan risau. Yang kecik2 tu serahkan kat akak je. Pandai2lah akak. Kak sentiasa tolong Naz, jangan pening-pening. Yang penting, bila benda baik kita nak buat ni, Allah akan permudahkan dengan cara yang kita tak sangka-sangka. Yakin tu. Oklah, Naz balik petang ni kan. Kita jumpa kat rumah ya, InsyaAllah", Kak Wahida sentiasa memberikan kata-kata semangat di saat lemahnya.

******

Pagi ini, Nazma mengucapkan syukur pada Yang Maha Esa, masih diberikan nikmat hidup di muka bumi Allah, untuk terus mengembara mencari redha Allah. Hari bersejarah, 13 Mac 2010, sebentar lagi, dengan izin Allah, Nazma akan dikitbahkan dengan seorang lelaki. Proses ke arah ini yang begitu kompleks, tetapi sungguh indah, menunjukkan Kekuasaan dan Kebijaksanan Allah.

Jam 11.30 pagi, sampailah rombongan pihak lelaki. Suasana pagi yang tenang itu, dengan bunyi burung berkicauan, kanak-kanak bermain riang, orang tua ramah bersembang, lelaki itu tertunduk sahaja, mungkin mengenangkan segala urusannya yang begitu indah dicaturkan oleh Allah. Nazma pula di biliknya, menunggu dipanggil untuk keluar. Perasaannya bercampur baur. Gembira kerana bakal dikhitbahkan dengan lelaki yang sangat baik agamanya, Sedih kerana mengenangkan 'orang tengah' nya yang tiada bersama-sama di hari ini, dan Risau memikirkan ujian dan dugaan untuk dirinya dan juga tunangnya nanti, serta mengharapkan yang terbaik di sisiNya untuk perancangan masa depannya, bermatlamatkan, MENCARI REDHA ALLAH.

Tibalah saatnya Nazma dipanggil keluar. Nazma agak terkejut. Baru sahaja 10 minit, rombongan sampai, masakan sudah siap perbincangannya? Namun, Nazma hanya mengikut belakang Kak Wahida. Nazma dibawa ke kelompok wanita. Nazma bersalaman dengan rombongan keluarga Fathullah. Nazma kaku dan rasa kekok. Semua mata memandangnya. Malu rasanya dilihat begitu. Rupa-rupanya perbincangan belum bermula. Namun, atas permintaan salah seorang ahli keluarga Fathullah, untuk melihat Nazma. Nazma memahami kerana itu adalah pertama kali bersua muka dengan ahli keluarganya. Sebulan yang lepas, hanya sekeping gambar dikirimkan Nazma kepada Fathullah, itupun atas permintaan ibunya.


Selepas berbincang lebih kurang 30 minit, selesailah perbincangan dua keluarga. Ibu Fathullah menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Nazma. Kini, Nazma sudah menjadi tunangan Fathullah. Dan, status ini bukanlah bermakna mereka sudah mendapat lesen besar, mereka masih lagi ajnabi, malahan, terlalu banyak yang perlu dijaga demi menjaga kesucian hubungan ke arah pembinaan sebuah baitul muslim.




Masih segar di ingatan Nazma dan Fathullah, wasiat terakhir, yang cukup bermakna, dari Allahyarham Abang Mujahid saat penghujung perjumpaan mereka bertiga yang terakhir:

 "Matlamat kita hanya satu, inilah usaha atau jalan-jalan dalam menuju atau mencari redha Allah. InsyaAllah, perancangan kita jika baik urusannya di sisi Allah, DIA akan permudahkan melalui cara yang kita tidak sangka-sangka. Tetaplah keyakinan dan kepercayaan hanya padaNya, biiznillah, semuanya akan baik-baik belaka. Cuma ingat satu pesan penting, Tempoh Pertunangan adalah tempoh pasangan akan diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan sebelum memasuki alam perkahwinan. Ujian yang paling halus akan menjangkiti hati. Dari situlah, kemungkaran dan maksiat lain akan menular.Tempoh ini sememangnya untuk kita mengenali bakal pasangan kita, keluarganya, namun, gunakanlah pendekatan terbaik, dengan mengurangkan ruang-ruang untuk syaitan mencucuk virusnya pada hati kita ini. Jagalah hubungan pertunangan sebaiknya, demi keberkatan sebuah perkahwinan yang suci."