Wednesday, August 17, 2011

Ujian Itu Manis Apabila Sabar Menjadi Kuncinya

Sebaik sahaja pulang dari pengembaraan di bumi yang subur dengan dakwah, semangat untuk terus mengembara mencari ilmu semakin membuak-buak. Nazma berjumpa dengan Pak Su Aziz untuk berbincang mengenai penempatannya. Namun, memandangkan bilangan pelajar yang penuh waktu itu, proses penempatan Nazma tidak dapat dilakukan segera.

2 minggu berikutnya, Nazma berjumpa Pak Su nya sekali lagi, baginya, dia tidak boleh berterusan membiarkan dirinya lalai tanpa berbuat apa-apa di rumah. Meihatkan kesungguhan Nazma, Pak Su Aziz usaha semampunya untuk memohon penempatan Nazma. Namun, semuanya bergantung kepada penempatan di Madrasah, jika ada kosong, Nazma boleh masuk seawal mungkin.

Nazma terus berharap. Dirinya mengerti inilah ujian yang harus dilaluinya, dan ujian di sana mungkin lebih berat buat anak manja seperti Nazma. Nazma pernah menjalani kehidupan pondok selama seminggu bersama Kak Wahida. Dan Nazma sering mendengar yang kehidupan di madrasah sukar bagi anak manja sepertinya. Apatah lagi, di sana, semuanya kena berdikari.

Pengembaraan ilmu menuju Ilahi itu pastinya dihidangi dengan onak liku, pastinya tidak dihamparkan dengan permaidani mewah. Jalan menuju Ilahi pastinya tidak senang, jika tidak masakan Rasulullah SAW sendiri diuji sewaktu menyampaikan Islam. Nazma nekad, kerana inilah hasrat besarnya, untuk menimba ilmu dan pengalaman di madrasah. Moga segala urusannya dipermudahkan oleh Allah.

Usai solat Subuh dan membaca Al-Quran, Nazma kembali menghadap skrin laptopnya. Sepanjang Nazma berada di rumah, dia mengisi masa terluang dengan menolong perniagaan membina laman website pelanggan-pelanggan adiknya. Nazma minat dalam bidang rekagrafik, jadi, minat serta bakat yang terpendam itu digunakan untuk menolong adiknya yang kian sibuk. Di samping itu, Nazma mendapat sedikit habuan sebagai upahnya bekerja.

Nazma pernah bersembang dengan adiknya, mengenai bekerja dari rumah. Melihatkan kejayaan adiknya, jauh di sudut hatinya, Nazma menyimpan hasrat  untuk bekerja di dalam rumah, serta dalam masa yang sama dia mendapat kepuasan dalam kerjanya nanti. Yang terpenting dan terutama, perniagaan design secara online itu juga adalah salah satu uslub dalam berdakwah, yang tinggal sejauh mana kita mahu mengaplikasikannya. Nazma gemar berdiskusi dengan adik lelakinya itu, Adik Azwan. Walaupun umurnya baru mencecah 17 tahun, namun, di dalam beberapa perkara, dia matang dalam berfikir.

Sedang Nazma khusyuk menghadap laptopnya, telefon bimbitnya berdering. Tertera nama "Pak Su Aziz" pada skrin telefon bimbitnya. Setalah berbincang hampir 15 minit dengan Pak Su Aziz, Nazma kembali menghadap laptopnya. Agak hampa, apabila Pak Su Aziz mencadangkan dia memulakan pengajiannya selepas 15 Syawal nanti. Ini kerana tinggal 2 minggu sahaja lagi sebelum 15 Syaaban. Pengajian di madrasah akan tamat pada 15 Syaaban serta akan bermula kembali pada 15 Syawal.

Nazma tidak dapat menumpukan perhatian pada kerjanya lagi. Pak Su Aziz ada bagi pilihan untuk pergi 3 hari lagi, terpulang pada dirinya. Berdoa dan terus berdoa. Akhirnya, Nazma nekad untuk pergi 3 hari lagi, walaupun hanya sempat belajar selama 2 minggu, baginya itu sudah menjadi nikmat yang besar buatnya.

Setelah berbincang dengan kedua ibu ayahnya, Nazma menyiapkan barang-barang yang akan dibawanya ke madrasah. Saat sedang mengemas barangnya, terdetik perasaan takut, risau dan sebagainya. Di sana nanti, tiada siapa yang dikenalinya, dan Nazma tertanya adakah dia cukup kuat untuk belajar berdikari di sana? Namun, bisikan-bisikan itu ditepisnya, dia harus kuat, sesiapa yang bergelar hambaNya, pasti akan diuji. Di mana jua dia berada, dia akan terus diuji. Kerana itulah tujuan penciptaannya di muka bumi ini.

Diiringi hujan yang lebat dari rumahnya, Nazma keluar dari pintu rumahnya, ke tempat yang begitu asing buat dirinya. Dia yakin yang jalan yang dipilihnya ini mampu mendekatkan dirinya kepada Ilahi. Semakin dekat dengan madrasah, hujan semakin lebat. Ayah memandu dengan perlahan kerana jalan yang agak licin dan pandangan hadapan yang kabur. Pak Su Aziz mengukir senyuman serta berkata, "Hujan lebat sangat, menandakan berkat Nazma nak belajar ni". Kata-kata Pak Su Aziz benar-benar menusuk kalbu Nazma. Ada betulnya kata-kata Pak Su Aziz, yang utama adalah Nazma harus sentiasa perlu tajdid niat belajar, iaitu demi mencari redha Allah.  Nazma juga harus bersedia dengan ujian yang telah disediakan buat seorang pengembara ilmu, dalam perjalanan menuju Ilahi.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.