Wednesday, May 25, 2011

Majlis Khitbah Fathullah & Nazma



2 bulan berlalu, Nazma melalui hari-hari praktikalnya di HUSM dengan hati yang semakin tenang. Walaupun, perancangan masa depannya masih kabur. Dia seperti tidak tahu arah tujuan hidupnya, matlamat hidupnya tiba-tiba kian kabur. 




Dahulu, apa yang dikejarnya hanyalah pengajian akademiknya. Sejak di bangku sekolah, dia belajar bersungguh-sungguh demi mendapat keputusan yang tinggi dalam peperiksaan. Dan dia merasai kepuasan, bila dia berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di setiap peperiksaan besarnya. Dan tujuan belajarnya hanya untuk mendapat sijil yang baik, menyambung pelajaran ke universiti dan bekerja dengan kerajaan. Itulah yang dilihatnya, dan baginya itu adalah satu kejayaan besar. Namun, jiwanya kosong. Dia sering tertanya sendirian, apakah yang belum lengkap dalam dirinya. Namun persoalan itu seakan sukar dicari jawapannya.


Sebagai satu hijrah, Nazma menanamkan satu niat yang cukup bererti buatnya, saat melangkah ke kampus pengajiannya, Nazma tidak ingin mengejar pengajian akademik semata-mata, dia mahu mendidik jiwanya yang kosong itu dengan menyuburkannya dengan benih-benih ilmu agama. Nazma yakin ini adalah hijrahnya. Dan dia sentiasa memohon dipertemukan dengan seorang penolong yang dapat memimpinnya ke jalan menuju Ilahi, iaitu seorang SAHABAT. Di kampusnya, Nazma masih dapat mengekalkan prestasi dalam akademiknya. Namun, sejak 2 tahun kebelakangan ini, dia semakin kurang semangat dengan bidang akademik yang diceburinya. Entah kenapa. Dia sukar mengungkapkan perasaannya. Namun, dirinya tidak mampu lagi bertahan, melakukan sesuatu dengan tiada minat padanya, melakukan sesuatu dengan terpaksa, melakukan sesuatu yang tidak serasi dengan jiwanya. Dia tidak mendapat kepuasan yang dia dapat dahulu. Nazma mulai tertekan dengan bebanan pengajiannya.

Mengubah Haluan? Namun, sejauh mana kekuatan yang Nazma ada untuk menghadapi pelbagai ujian dan dugaan nanti? Nazma jarang membantah keputusan besar orang tuanya. Malahan, mengubah haluan yang bakal mengecewakan orang tuanya, tidak mampu difikir oleh otaknya yang lemah itu? Namun, dia tidak boleh berterusan begini, boleh mengundang 'penyakit lain' pula pada masa akan datang.

Nazma lebih gemar bidang Mathematic sejak dulu, dan sejak akhir2 ini, dia juga gemar dalam bidang Computer Designing. Ada sahaja projek yang diambilnya. Nazma pernah menyertai Pertandingan Merekacipta Uniform Praktikal bagi kampusnya, dan rekaannya terpilih. Juga, di kampusnya, dia suka menceburkan diri dalam Unit Multimedia dan sebagainya. Minatnya pada designing hanya suka-suka, namun, memberikannya kepuasan. Dan, dia belajar dari kosong, hinggalah sekarang, dia makin boleh dalam bidang ini. Di HUSM, dia lebih menggemari kerja-kerja yang menggunakan komputer, memasukkan data-data ubat, memasukkan senarai nama ubat, juga, dia pernah cuba mencipta perisian untuk memudahkan pengendalian data-data ubat yang begitu banyak. Namun, kerana masih banyak kelemahan dari sistemnya dan dari hospital sendiri, perisian itu tidak dapat diteruskan. Walaupun begitu, setiap usahanya itu, Nazma mendapat kepuasan, kerana itu adalah minatnya.


Memikirkan apakah yang akan terjadi di masa depannya? Moga setiap keputusannya tidak lari dari matlamat penciptaan dirinya, Pengembaraan dalam Mencari Redha Ilahi. Itulah yang utama. Panjang Nazma termenung, Mengimbas kembali perjalanan hidupnya. Dan lamunannya terhenti apabila telefon bimbitnya berdering. Kak Wahida menelefonnya. 

"Assalamualaikum Naz. Apa khabar? Kak duk urus persiapan pertunangan Naz,ari sabtu ni. Naz ada apa-apa lagi tak yang tertinggal?, tanya Kak Wahida yang begitu banyak membantu menguruskan Majlis Pertunangan Fathullah dan Nazma yang akan berlangsung 3hari lagi.

"Waalaikumsalam, kak. Rasanya tak da pape dah kak. Lagipun, Naz bukan buat majlis besar-besar pun. Naz pun belum habis belajar lagi. Sekarang pun, tengah pening dengan Kertas Kerja Final Year. Yang penting, semua kita dah buat minggu lepas. InsyaAllah, kita doakan smuanya dipermudahkan dan berjalan lancar".

"Ok, tak pa lah camtu. Naz jangan risau. Yang kecik2 tu serahkan kat akak je. Pandai2lah akak. Kak sentiasa tolong Naz, jangan pening-pening. Yang penting, bila benda baik kita nak buat ni, Allah akan permudahkan dengan cara yang kita tak sangka-sangka. Yakin tu. Oklah, Naz balik petang ni kan. Kita jumpa kat rumah ya, InsyaAllah", Kak Wahida sentiasa memberikan kata-kata semangat di saat lemahnya.

******

Pagi ini, Nazma mengucapkan syukur pada Yang Maha Esa, masih diberikan nikmat hidup di muka bumi Allah, untuk terus mengembara mencari redha Allah. Hari bersejarah, 13 Mac 2010, sebentar lagi, dengan izin Allah, Nazma akan dikitbahkan dengan seorang lelaki. Proses ke arah ini yang begitu kompleks, tetapi sungguh indah, menunjukkan Kekuasaan dan Kebijaksanan Allah.

Jam 11.30 pagi, sampailah rombongan pihak lelaki. Suasana pagi yang tenang itu, dengan bunyi burung berkicauan, kanak-kanak bermain riang, orang tua ramah bersembang, lelaki itu tertunduk sahaja, mungkin mengenangkan segala urusannya yang begitu indah dicaturkan oleh Allah. Nazma pula di biliknya, menunggu dipanggil untuk keluar. Perasaannya bercampur baur. Gembira kerana bakal dikhitbahkan dengan lelaki yang sangat baik agamanya, Sedih kerana mengenangkan 'orang tengah' nya yang tiada bersama-sama di hari ini, dan Risau memikirkan ujian dan dugaan untuk dirinya dan juga tunangnya nanti, serta mengharapkan yang terbaik di sisiNya untuk perancangan masa depannya, bermatlamatkan, MENCARI REDHA ALLAH.

Tibalah saatnya Nazma dipanggil keluar. Nazma agak terkejut. Baru sahaja 10 minit, rombongan sampai, masakan sudah siap perbincangannya? Namun, Nazma hanya mengikut belakang Kak Wahida. Nazma dibawa ke kelompok wanita. Nazma bersalaman dengan rombongan keluarga Fathullah. Nazma kaku dan rasa kekok. Semua mata memandangnya. Malu rasanya dilihat begitu. Rupa-rupanya perbincangan belum bermula. Namun, atas permintaan salah seorang ahli keluarga Fathullah, untuk melihat Nazma. Nazma memahami kerana itu adalah pertama kali bersua muka dengan ahli keluarganya. Sebulan yang lepas, hanya sekeping gambar dikirimkan Nazma kepada Fathullah, itupun atas permintaan ibunya.


Selepas berbincang lebih kurang 30 minit, selesailah perbincangan dua keluarga. Ibu Fathullah menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Nazma. Kini, Nazma sudah menjadi tunangan Fathullah. Dan, status ini bukanlah bermakna mereka sudah mendapat lesen besar, mereka masih lagi ajnabi, malahan, terlalu banyak yang perlu dijaga demi menjaga kesucian hubungan ke arah pembinaan sebuah baitul muslim.




Masih segar di ingatan Nazma dan Fathullah, wasiat terakhir, yang cukup bermakna, dari Allahyarham Abang Mujahid saat penghujung perjumpaan mereka bertiga yang terakhir:

 "Matlamat kita hanya satu, inilah usaha atau jalan-jalan dalam menuju atau mencari redha Allah. InsyaAllah, perancangan kita jika baik urusannya di sisi Allah, DIA akan permudahkan melalui cara yang kita tidak sangka-sangka. Tetaplah keyakinan dan kepercayaan hanya padaNya, biiznillah, semuanya akan baik-baik belaka. Cuma ingat satu pesan penting, Tempoh Pertunangan adalah tempoh pasangan akan diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan sebelum memasuki alam perkahwinan. Ujian yang paling halus akan menjangkiti hati. Dari situlah, kemungkaran dan maksiat lain akan menular.Tempoh ini sememangnya untuk kita mengenali bakal pasangan kita, keluarganya, namun, gunakanlah pendekatan terbaik, dengan mengurangkan ruang-ruang untuk syaitan mencucuk virusnya pada hati kita ini. Jagalah hubungan pertunangan sebaiknya, demi keberkatan sebuah perkahwinan yang suci."












No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.