Friday, May 20, 2011

Ujian Tidak Pernah Berhenti


Malam itu, Nazma tidur dalam kepenatan, lega setelah seminggu menguruskan tahlil buat Allahyarham Abang Mujahid. Jam menunjukkan tepat pukul 6 pagi, dan kedengaran ahli keluarga Nazma ada yang sudah bangun bersiap-siap untuk Solat Subuh berjemaah.

Nazma yang menyedari bahawa rumahnya ada ajnabi, terus sahaja bersiap-siap sebelum Fathullah dan sahabat-sahabatnya turun untuk solat berjemaah. Setelah bersiap, Nazma terus ke dapur, menghangatkan lauk-pauk majlis tahlil semalam. Sedang Nazma di dapur, kedengaran sayup-sayup bacaan Al-Quran dari Imam solat subuh di rumah Nazma. Nazma cukup kenal dengan suara itu, yang sentiasa kedengaran di Pusat Islam kampusnya. Dialah Fathullah, yang telah berjaya membuatkan hati Nazma bergetar setiap kali mendengar alunan bacaan Al-Qurannya. Juga mengingatkan Nazma pada Allahyarham Abang Mujahid, yang merupakan imam setiap kali solat berjemaah di rumah.

Nazma tersentak dari lamunannya, pabila terdengar seakan ada benda yang jatuh. Nazma meluru ke bilik adik bongsunya. Adik tiada di bilik. Nazma cemas. Dia melihat ke arah bilik air yang berkunci. Tak salah lagi Adik di dalam bilik air. "Adik! Adik! Buka pintu ni. Adik!", Tiada sahutan kedengaran, namun kedengaran Adik sedang mengerang kesakitan. Nazma panik.

Dengan seluruh kekuatan yang ada, Nazma membuka pintu dari luar. Mujurlah pintu itu tidak terkunci rapat. Terkejut Nazma melihat Adik sedang mengerang kesakitan dan jatuh. Hidung dan mulut adik berdarah. Nazma semakin panik. Nazma menjerit sekuat hatinya, "Ibu! Ibu!Cepat tengok Adik ni", suaranya kian lemah. Beberapa saat, Ibu datang. Ibu dan Nazma cuba mengangkat Adik, namun, tidak terdaya. Ayah yang baru selesai mengaminkan doa bersama imam datang ke arah kami. Terkejut ayah, diangkatnya Adik keluar ke ruang belakang.

Penyakit Adik datang lagi. Dia sawan ketika di dalam bilik air. Mungkin kesejukan. Namun, ini adalah yang paling serius berbanding yang sebelumnya. Terlintas di benak Nazma perkara yang bukan-bukan, tidak mampu merasai kehilangan orang terdekat lagi. Namun, cepat-cepat Nazma beristighfar, sesungguhnya semuanya adalah milikNya. Nazma kembali berdoa semoga dirinya dan keluarga dikuatkan hati meredah lautan ujian kehidupan ini. Darah pada hidung dan mulut Adik dilap oleh ibu. Ayah dan ibu di samping Adik. Adik kelihatan begitu lemah. Setengah jam kemudian, Adik tidur dengan nyenyak. Kami semua lega melihat Adik kian pulih dari sawannya.

Nazma kembali ke dapur, menyiapkan sarapan pagi bersama Kak Wahida. Fathullah dan sahabat-sahabatnya sedang bersembang dengan Abang Khairul. Setelah bersarapan, Fathullah dan sahabat-sahabatnya meminta diri untuk pulang. Keluarga Nazma menghantar mereka ke muka pintu. Nazma pula di ruang belakang menemani Adik yang sedang nyenyak tidur. Kadang-kadang, Adik terjaga dan mengerang kesakitan, namun, tidur kembali bila diulik dengan alunan zikir dari Nazma. Alunan zikir itu juga membuatkan Nazma makin tenang dengan ujian yang tidak pernah berhenti, tanda kasih sayang Allah padanya. Kadang-kadang, Nazma menyeka air mata yang menitis tanpa disedarinya.

"Ya Allah, kuatkanlah hati-hati kami yang lemah ini, tunjukkanlah jalan buat hati-hati kami yang buntu ini, tenangkanlah hati-hati kami yang gelisah ini, Amin, Ya Rabbal 'Alamin"

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.