Saturday, May 21, 2011

Pertemuan Ibu Ayah vs Mak Pak

Kepenatan semalam belum hilang lagi, kesedihan semalam belum terubat lagi, namun, kehidupan perlu diteruskan. Kedatangan sahabat-sahabat Nazma yang tinggal jauh sedikit sebanyak memberi sokongan dan dokongan kepadanya. Petang ini, Nazma akan kembali ke rumah sewanya di Kubang Kerian. Sudah seminggu, Nazma memohon cuti dari latihan praktikumnya di HUSM, Kubang Kerian. Kelmarin, dia mendapat panggilan daripada Ketua Pegawai Farmasi, mengingatkannya supaya meneruskan latihan praktikumnya esok.


Jam 7.00 malam, Nazma selamat sampai di rumah sewanya. Beberapa minit kemudian, Azan Maghrib berkumandang. Zinnirah mengimamkan Solat Maghrib, dan menyampaikan tazkirah untuk malam itu. Nazma memeluk erat sahabat baiknya itu, yang sentiasa bersamanya di kala suka dan duka. Zinnirah banyak mengajar dan mendidiknya, serta mengajaknya ke jalan yang lebih dekat dalam Mencari Redha Ilahi. Zinnirah banyak bersabar dalam mendidik dirinya menjadi seorang muslimah. Muslimah yang cintakan ilmu agama dalam pengembaraan Menuju Ilahi. Nazma tidak dapat membendung lagi perasaannya. Titis-titis air mata mula berguguran di dalam dakapan Zinnirah. Sebelum ini, sukar untuk Nazma menangis kerna terlalu terkejut dengan pemergian Abang Mujahid, dan Nazma menguatkan dirinya yang lemah di hadapan keluarga tersayang.

Zinnirah menyeka air mata Nazma yang kian laju mengalir di pipi mulusnya. Zinnirah amat menyayangi Nazma, sahabat baiknya selama 3 tahun. Nazma banyak mentarbiyahnya dengan caranya yang tersendiri, Nazma tidak akan menegur salah silapnya dengan kata-kata, tapi, Nazma lebih memilih untuk berdakwah dengan perbuatan. Persahabatan mereka sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, kerana ianya sungguh unik. Kenapa? Kerna mereka bertemu kerana Allah, mereka berkasih sayang kerana Allah, dan mereka berpisah juga kerana Allah. Sesungguhnya jarak mungkin dapat memisahkan mereka, namun, tautan ukhuwah mereka tetap terjalin hingga ke syurga, InsyaAllah. 

Malam itu, Nazma dan Zinnirah bersembang setelah seminggu tidak bersua muka. Banyak yang ingin diceritakan oleh Nazma kepada Zinnirah, begitu juga dengan Zinnirah. Semuanya dikongsikan dan mereka saling menasihati antara satu sama lain.

"Alhamdulillah, Naz. Zin bersyukur, dalam ujian yang Naz hadapi, Dia tidak lupa selitkan begitu banyak hikmah buat Naz sekeluarga. Zin doakan urusan Naz dan Fathullah dipermudahkan olehNya. Sungguh indah percaturanNya Naz, cuma kita sahaja yang tidak menyedarinya kerana kelemahan dan kekurangan kita". 

"Alhamdulillah, Zin. Itulah, percaturanNya, dan kita hanya hambaNya yang lemah, namun, keyakinan kepadaNya tidak boleh goyah, walau apa saja yang terjadi. Sesungguhnya terlalu banyak nikmatNya yang kita dustai selama ini, bila diuji, barulah terngadah. Astaghfirullah...Moga pintu taubatNya masih terbuka buat hambaNya yang sentiasa alpa ini", mata Nazma kembali berkaca-kaca.

Zinnirah memeluk erat Nazma. "InsyaALLAH, sama-sama kita usaha, perbaiki diri dan amal kita".




**********
Pagi ini, Nazma bersiap-siap untuk ke HUSM meneruskan latihan praktikumnya. Sedang Nazma bersiap, telefon bimbitnya berdering, ada panggilan dari ayah. "Assalamualaikum, Naz. Dah bersiap ke nak gi hospital?", tanya ayah. "Waalaikumsalam, ye, Naz dah siap, napa ayah?". "Tak da apalah. Ayah jap lagi nak bertolak ke Tanjung Malim, nak uruskan beberapa urusan Allahyarham Abang Mujahid. Ayah pergi dengan ibu, Kak Wahida dan Adik. Nanti, kami nak singgah rumah Fathullah, nak ziarah tempat terakhir Allahyarham Abang Mujahid." Nazma mendengar dengan teliti. "Ok, baik-baik ayah ya. InsyaAllah, moga selamat pergi dan pulang ya".

Sambil mengisi senarai ubatan farmaseutikal untuk Klinik Radiologi, fikiran Nazma melayang lagi. Mengingatkan Allahyarham Abang Mujahid, perancangan Allahyarham, dan pemergiannya, semuanya bagai mimpi, sekelip mata sahaja semuanya terjadi. ALLAH Maha Kuasa, Maha Mengetahui. Kejadian kali ini benar-benar membuatkan dirinya merasa lemah dan tidak berdaya.

"Nazma, tolong bagi satu ampul Diclofenac kat Kak Liya", lamunan Nazma tersentak. "Ya Allah, bagaimana mungkin aku termenung di sini", getus hati kecilnya. Kak Liya yang mulai menyedari Nazma yang kelihatan lemah, mengajak Nazma berhenti rehat. Kak Liya cuba membuatkan Nazma melupakan kisah sedihnya. 

Seharian di HUSM hari ini, umpama tiada apa-apa buat Nazma. Sesampai di rumah sewanya, Nazma merebahkan badannya di atas tilam. "1 new message received" tentera di telefon bimbitnya yang di'silent'kan itu. "Ayah baru balik dari UPSI, Alhamdulillah, selesai segala urusan. Sekarang, ayah dalam perjalanan ke rumah Fathullah.", mesej dari ayah. Begitulah ayah, yang begitu mengambil berat tentang Nazma. 

Ayah mencari-cari rumah Fathullah. Dengan sedikit gambaran peta rumah Fathullah, ayah sampai jam 11.30 malam di rumahnya. Ayah kesesatan mencari rumah Fathullah. Mak pak Fathullah setia menunggu sejak jam 9.00 malam lagi. Kehadiran ayah ibu Nazma disambut dengan begitu baik oleh mak pak Fathullah. Walaupun sudah agak lewat ketibaan ayah Nazma, namun pak Fathullah begitu ramah berbicara. Menceritakan sehari semalam bersama Allahyarham Abang Mujahid.

Sekali lagi, ibu menitiskan air mata. Ibu sangat ingin mendengar kisah Allahyarham Abang Mujahid, namun, setiap kali itu juga, ibu akan menangis. Sungguh menyedihkan perasaan seorang ibu, yang telah menjaga anaknya sejak dalam kandungan hinggalah berusia 22 tahun. Sungguh pilu perasaan itu, sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Namun, kehidupan perlu diteruskan, dan keyakinan perlu sentiasa utuh kepadaNya, tiada yang sia-sia dalam kejadianNya, teruskanlah  pengembaraan kita menuju Ilahi ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.