Wednesday, March 30, 2011

Keakraban Melahirkan Rasa Ketenangan

Sesampainya Nazma dan Zinnirah di hentian bas Sungai Petani, Abang Mujahid dan muslimin itu masih dalam perjalanan ke situ. Mereka agak terlewat kerana program habis agak lambat.


Azan Maghrib berkumandang, dan kelibat Abang Mujahid dan muslimin itu masih belum kelihatan. Nazma dan Zinnirah berjalan ke surau berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib. Namun, mereka tidak menunaikan solat di situ, disebabkan sistem pembinaan surau itu yang tidak begitu menitikberatkan dalam menjaga aurat muslimat. Tempat mengambil wudhuk sangat terdedah kepada pandangan muslimin. Nazma dan Zinnirah bergerak ke surau pusat membeli-belah berdekatan, Jusco.


Di tengah-tengah riuh-rendah dendangan lagu di pusat membeli-belah itu, kedengaran sayup-sayup suara Imam membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Masih ada segolongan kecil yang menunaikan solat berjemaah. Tenang hati Nazma melihatkan masih ada yang menunaikan kewajipan yang disyariatkan Allah itu di tempat sebegitu.

Usai sahaja mengaminkan doa, telefon bimbit Nazma bergetar, menandakan ada panggilan masuk.. "Abang dah sampai kat hentian bas Sungai Petani. Abang nak solat Maghrib di sini dulu. Naz kat mana?", tanya Abang Mujahid. "Naz kat surau Pusat Membeli Belah Jusco, kami solat Maghrib di sini sebab surau kat hentian bas tadi tak ok", jawab Nazma. "Ok, takpa, Naz tunggu kat sana baik-baik ya, nanti kami ambil Naz dan Zinnirah kat sana". "Ok, insyaAllah".

Nazma dan Zinnirah menanti kedatangan Abang Mujahid di depan pintu utama Jusco. Selang 10 minit, sekali lagi telefon bimbit Nazma bergetar. "Naz, abang dah sampai depan pintu utama, tak nampak pun Naz", tanya Abang Mujahid. "Naz ada, kat tepi sikit ni,", jawab Nazma sambil matanya mencari-mencari kelibat Abang Mujahid. Dari kejauhan, kelihatan ada seorang lelaki yang melambai-lambai kegirangan kepadanya. Ya, tidak salah lagi itulah Abang Mujahid.

Nazma bersalaman dengan Abang Mujahid. Dan saat itu, Nazma dapat melihat kelainan pada wajah Abang Mujahid. Wajah yang kepenatan tetapi penuh kegembiraan. Di dalam kereta menuju ke Radix Pizza House (RPH), Nazma diam membisu. Hanya kedengaran suara Abang Mujahid dan muslimin itu, bersembang tidak henti, mengenai remaja Islam hari ini, dan macam-macam lagi. Nazma terharu melihat keakraban mereka. Dan Nazma tidak pernah melihat Abang Mujahid sepetah itu dalam berbicara. Kebiasaannya, Abang Mujahid lebih selesa menghadiahkan senyuman dan mendengar.


Muslimin itu menurunkan kami bertiga di RPH, manakala dia pergi meletakkan kereta di tempat letak kereta berhampiran. "Abang, camna program tu? Best tak? Ruginya tak dapat ikut sekali. Nanti abang bagi pengisian kat Naz tentang program tu ye", Nazma membuka bicara. Di dalam kereta, tiada satu patah perkataan pun yang keluar dari bibirnya, Zinnirah yang terpaksa menjawab segala pertanyaan dari Abang Mujahid dan muslimin itu. "Oo, program tu best sangat. Rugi Naz tak ikut. Boleh je abang bagi, tapi tak samalah, kalo Naz pergi sendiri, mesti lagi baik", jawapan Abang Mujahid cukup menggambarkan yang program itu sangat bermanfaat.

Beberapa minit kemudian, muslimin itu muncul. Ini adalah pertama kali mereka makan di situ, Abang Mujahid yang beria-ia benar ingin makan di situ, Selesai makan, Zinnirah duduk di meja belakang, bagi menghormati kerahsiaan dalam perbincangan di antara Abang Mujahid, muslimin itu dan Nazma. Abang Mujahid memulakan sesi perbincangan dengan doa. Abang Mujahid menerangkan serba sedikit perjalanan sesi perbincangan itu. Abang Mujahid menyatakan bahawa sesi itu adalah sesi perbincangan dan dia mengharapkan kesudahan yang terbaik daripada perbincangan itu. Kemudian, muslimin itu memulakan berbicara mengenai perancangannya. Nazma terkedu mendengar perancangan yang sangat teliti dari seorang lelaki yang baru mencecah usia 22 tahun. Kadang-kadang, Nazma diminta untuk memberi pandangan dan pendapat.

Di akhir perbincangan, Nazma temui satu ketenangan menyelinap ke dalam hatinya. Rasa ketenangan itu lahir bila melihatkan keakraban ukhuwah antara Abang Mujahid dan muslimin itu. Namun, rasa ketenangan itu terasa lagi kuat bila mendengarkan perancangan teliti dari muslimin itu, sekaligus meyakinkan Nazma bahawa muslimin itu adalah muslimin yang bakal membawanya ke jalan Menuju Redha Allah. Walaupun, berbagai-bagai persoalan dan konflik yang muncul di benaknya, Nazma menyerahkan semuanya kepada Allah.

"Alhamdulillah, kita sudah sampai ke penghujung sesi perbincangan ini. Diharapkan kedua-dua belah pihak faham dengan matlamat perbincangan kita pada malam ini. Alhamdulillah, Abang bersyukur sangat atas nikmat kurniaan Allah ini. Alhamdulillah, kita dapat bertemu pada malam ni, kita tidak tahu bilakah lagi kita akan dipertemukan sebegini. Pertemuan pertama mungkin juga menjadi pertemuan terakhir. Apapun, Abang gembira sangat dengan pertemuan kita pada malam ni. Abang rasa lega, sebab dapat men'clear'kan hal ini terutamanya kepada Nazma. Naz, jangan risau, insyaAllah, abang balik bulan 5 ni, abang akan bincangkan semua hal ini pada Abah, Naz tak perlu buat apa-apa, biar abang yang uruskan. Naz hanya kuatkan diri dan banyakkan berdoa pada Allah", begitulah kata-kata yang penuh berhikmah dari Abang Mujahid, yang memahami benar hati Nazma.

Usai sahaja perbincangan itu, Abang Mujahid dan muslimin itu menghantar Nazma  dan Zinnirah ke kampusnya. Di dalam perjalanan, Abang Mujahid tertidur. Kelihatannya, Abang Mujahid begitu penat, namun, tergambar bahawa, sekarang, dia tertidur melepaskan lelah penat menguruskan berbagai tanggungjawab dan amanahnya dalam perjuangan Islam.

Setibanya di kampus, Abang Mujahid masih tertidur kepenatan. Nazma tidak sampai hati ingin mengejutkannya. Hanya ucapan terima kasih keluar dari bibirnya, sejurus itu, Nazma dan Zinnirah keluar dari kereta menuju ke kampusnya. Perpisahan pada malam itu seperti tidak lengkap, bilamana Nazma tidak bersalaman dengan Abang Mujahid. Namun, Nazma meneruskan langkahnya, mengharapkan masih ada rezeki di masa akan datang untuk mencium tangan abangnya itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.