Sebaik sahaja pulang dari perjumpaan tadi, Nazma terus merebahkan badannya di atas katil. Kepenatan yang sukar digambarkan. Tubuh badannya letih, tapi, otaknya lagi letih memikirkan masa depannya. Namun, dengan mengingati Allah, hatinya kembali tenang, bila mengingatkan kesungguhan Abang Mujahid dan muslimin itu, hatinya juga rasa tenang. Malam itu, Nazma tertidur dengan fikirannya tidak berhenti memikirkan hal-hal akan datang, Adakah ibu dan ayahnya akan menerima muslimin itu? Adakah ibu dan ayahnya akan membenarkan Nazma menikah dalam tempoh setahun hingga ke dua tahun lagi? Dan yang paling penting, adakah Nazma betul-betul bersedia menerima amanah dan tanggungjawab seorang isteri di usia muda begitu? Semuanya ibarat satu mimpi, namun, Nazma akur dengan ketentuan dan takdirNYA, kerna tidak ada sesuatu pun dalam perancangan Allah yang sia-sia. Nazma meletakkan satu keyakinan yang mendalam, bahawa semua ini pasti ada hikmah yang terbesar dalam hidupnya, dalam terus mengembara mencari ilmu menuju Ilahi.
Hari ini hari terakhir Nazma berada di kampusnya, dan tujuan utama Nazma iaitu merujuk kertas kerja Final Year Project kepada pensyarahnya juga telah selesai. Malam ini, Nazma dan Zinnirah akan menaiki bas ekspres dari bumi Penang ke kampungnya. Pada malam yang sama juga, Abang Mujahid akan menaiki keretapi dari bumi Kedah ke kampusnya di Perak. Dalam perjalanan Nazma pulang ke kampungnya, kadang-kadang naluri hatinya rasa kurang enak. Kebiasaannya, pasti ada sesuatu yang bakal terjadi pada ahli keluarganya. Namun, Nazma hanya memperbanyakkan berdoa semoga seluruh ahli keluarganya dalam lindungan Yang Maha Melindungi.
Nazma dan Zinnirah tiba di pekan kampungnya pada jam 3 pagi. Suasana pagi yang hening itu, dibasahi dengan rintikan hujan, menyebabkan Nazma kesejukan sambil menunggu ayahnya datang menjemput. Beberapa minit kemudian, kelihatan kereta ayahnya berhenti di hadapannya. Nazma bersalaman dengan ayahnya dan pulang ke rumahnya. Sesampainya di rumah, ibu, kakak dan adik-adiknya masih tidur. Nazma masuk ke billiknya untuk melelapkan mata sekejap sebelum waktu Subuh.

"Ya Allah? Accident? Dengan apa? Kawannya meninggal dunia?", suara Kak Wahida yang tengah bercakap di telefon mengejutkan Nazma dari tidurnya. Barangkali ada kawan Kak Wahida kemalangan. Nazma menggapai-gapai telefon bimbitnya untuk melihat waktu saat itu. "3 missed call", tentera di telefon bimbitnya, panggilan yang tidak dijawab dari Kak Insyirah, sahabat Abang Mujahid di kampusnya. Nazma kehairanan.
Usai sahaja Kak Wahida menamatkan perbualannya di telefon, Nazma terus menanyakan apa yang dibicarakan oleh Kak Wahida di telefon. "Naz... Abang Mujahid... Abang Mujahid...", hanya itu yang keluar dari bibir Kak Wahida dan dia terduduk menangis. Nazma mulai merasakan sesuatu yang musibah benar-benar menimpa keluarganya. Nazma mendekati Kak Wahida dan meminta supaya Kak Wahida bertenang dan menceritakan apa yang terjadi.
"Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu. Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan"
(Surah Yasin : 82-83)