Sunday, September 11, 2011

Indahnya Perkahwinan Berlandaskan Syariat Islam (2)

Post "Indahnya Perkahwinan Berlandaskan Syariat Islam", yang ditulis 3 minggu lepas, diminta untuk disambungkan lagi. Ada yang menyatakan post itu terlalu pendek, dan merasakan perlunya sambungan.
Setelah difikirkan kembali, ana bersetuju untuk menyambung lagi post tersebut. Ana pastilah bukan orang yang selayaknya, namun, ana cuba berkongsi pengalaman diri yang serba kekurangan ini juga.

Ana quote kembali dari post yang lepas, 
Sejauh manakah kebenarannya perkenalan sebelum perkahwinan? Bukankah kita hanya diperdaya dengan tipu daya syaitan? Ingatlah, sahabat-sahabat bahawa, "keberkatan sebuah perkahwinan bukan bermula dari saat akad nikah sahaja, namun, ia sudah bermula sejak perkenalan kita lagi, kaedah kita ke arah perkahwinan."

Jika sahabat2 mengikuti post2 ana sebelum ini dalam entry "Kisah Kami", pastinya sahabat2 dapat melihat bagaimana perjalanan perkenalan ana dengan Ustaz Zauj sehinggalah ke saat lafaz sakinah.  Dek kerana sukarnya tunang ana untuk menghubungi ana, dia mengambil inisiatif bijak, dengan selalu menghubungi ibu dan ayah ana. Ustaz Zauj mengerti yang dirinya tidak akan dihiraukan oleh ana selagi mana kami belum sah bergelar suami isteri. Maklumat terkini tunang ana lebih dahulu diketahui ibu dan ayah ana, seakan-akan ana dan tunang ana bukan siapa-siapa. Ramai orang terdekat dengan ana kehairanan melihatkan tingkah kami ini. Dan keadaan yang sama terjadi pada keluarga Ustaz Zauj. Waktu pertunangan kami adalah selama setahun, dan urusan perkahwinan hanya diuruskan 3 bulan sebelum perkahwinan.

Ana akui bukan mudah untuk menjaga hati di dalam tempoh bertunang, ujiannya amat kuat. Kadang-kadang, hati akan tersasar dari yang haq, namun, kembali lah kepadaNya, kerana DIA Maha Penerima Taubat. Sentiasalah berdoa moga Allah teguhkan hati kita untuk mengikuti syariatNya.

Saat ini, ana bersyukur kepadaNya, kerana sentiasa menjaga kami dalam tempoh kami tidak halal dulu. Bila merasakan begitu banyak nikmatNya bermula saat pernikahan kami hinggalah sekarang, makin bertambah rasa syukur padaNya. Terasa ini adalah berkatnya perkahwinan kami, hasil dari hubungan yang kami jaga. Dulu, jika kami lebih mengutamakan nafsu, mungkin berkatnya tidak akan terasa seperti sekarang.

Keberkatan ini lebih terasa bilamana waktu susah. Bila budget bulanan Ustaz Zauj menyimpang dari kebiasaan, dan ana pula tidak dapat 'backup' dengan ketiadaan urusan jual beli bulan itu, namun di dalam keadaan itu, kami masih mampu bergelak ketawa, bergurau senda dan saling memberikan sokongan dan dorongan antara satu sama lain.  Merasakan ujian-ujianNya mampu ditempuhi bersama. Setelah kami sama-sama ditarbiyah di alam perkahwinan ini, ikatan kasih sayang di antara kami juga semakin bertambah. Tetapi, yang lebih bermakna buat kami ialah, kami merasakan lebih dekat kepadaNya.

Hari ini, genaplah 6 bulan perkahwinan kami. Sungguh pantas masa berlalu. Kebiasaannya, di hari ulang bulan perkahwinan kami, Ustaz Zauj akan meraikannya dengan membawa ana makan di luar. . Di hari-hari biasa, kami jarang makan di luar, namun, di hari-hari istimewa, dia akan berusaha membawa ana makan di restoran-restoran 'favourite' ana. Namun, hari ini, Ustaz Zauj membuat sedikit kelainan. Usai solat Asar berjemaah, dia memberikan 3 pilihan kepada ana iaitu :

1)Main badminton bersama Ustaz Zauj
2)Belajar kereta bersama Ustaz Zauj
3)'Dating' di Taman Tasik bersama Ustaz Zauj

Ana memilih pilihan ketiga. Sebelum keluar rumah, ana sempat mencapai makanan ringan untuk dibawa bersama. Di sana, kami bergambar dan berjalan melihat alam. Berhenti rehat di bangku sambil makan makanan ringan yang ana bawa. Walaupun kali ini, ana tidak dapat makan di restoran 'favourite' ana, namun, ana masih merasakan kebahagiaan yang sama di taman tasik itu bersama Ustaz Zauj.

Di kala itu, kami terlihat sekumpulan remaja perempuan dan lelaki berjumpa di situ.  Mereka tanpa segan silu bergurau senda. Di satu sudut pula, kami melihat remaja yang ber'couple'. Melihatkan situasi itu, ana mula merasakan tidak selesa berada di situ lama2. Ustaz Zauj yang mengerti, mengajak ana pulang. Kerisauan mula menyelubungi fikiran ana. Pergaulan bebas yang begitu berleluasa di kalangan anak muda hari ini begitu merisaukan. Siapa yang harus dipersalahkan? Tidak perlu menunding jari, tetapi kajilah sejauh mana didikan agama telah kita berikan pada anak-anak ini.

Mungkin ada di antara kita pernah ber'couple'. Mungkin ada di antara kita sedang berjinak-jinak dengan 'couple'. Mungkin ada di antara kita yang sedang hangat ber'couple'. Namun, jika ada setitis kesedaran dalam diri, maka kembalilah kepadaNya.

Ada yang pernah berkata kepada ana, "Bila nak insaf, wat baik ni, nanti orang cop plak?",  Kenapa kita lebih mengutamakan pandangan manusia daripada pandangan Allah? Yang sebenarnya, kita mahu berubah kerana siapa? Kerana manusia atau kerana Allah? Niat itu yang paling utama. Jika kita telah meletakkan niat untuk berubah kerana Allah, insaf dengan kesalahan kita, berhenti melakukan kesalahan itu dan berazam tidak mahu mengulangi kesalahan itu lagi, percayalah, Allah sentiasa menolong kita dalam mengharungi segala tohmahan dan ejekan itu. Tohmahan dan ejekan itu kecil sahaja jika dibandingkan kemurkaan Allah kepada kita.

Firman Allah SWT, Ayat 117, Surah At-Taubah :
"Sungguh, Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, yang mengikuti Nabi pada masa-masa sulit, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang kepada mereka".