Tuesday, July 12, 2011

Berakhirnya Sebuah Penantian

Nazma dan Fathullah selamat dikhitbahkan. Tiada sebarang tarikh dibincangkan, memandangkan Fathullah baru sahaja menghabiskan foundation pengajiannya. Fathullah akan kembali meneruskan pengajiannya pada bulan Jun 2010 nanti. Manakala, Nazma pula berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, selepas menamatkan Diploma Farmasi yang tinggal lebih kurang sebulan sahaja lagi.


Selepas sehari bercuti rehat, Nazma kembali ke rumah sewanya seperti biasa. Apa yang diagaknya benar-benar berlaku, sejak melangkah ke rumah sewanya, sahabat-sahabatnya tidak berhenti mengusiknya. Tiada sepatah kata yang keluar dari mulut Nazma, hanya senyuman menjadi jawapan setia bagi setiap soalan sahabat-sahabatnya. Mungkin ada yang dapat mengagak yang dia memohon cuti untuk bertunang, namun, dek kerana kebisuan Nazma, mereka seperti kebingungan dengan status Nazma yang sebenarnya.


Nazma bukanlah bermaksud mahu mengasingkan sahabat-sahabatnya, namun, baginya, bukanlah Majlis Pertunangan yang utama dan perlu dihebahkan, bahkan PERNIKAHAN itu yang lebih utama dan wajib dihebahkan. Memegang kepada prinsipnya itu, Nazma mungkin membuatkan ramai yang terasa hati dengannya kerana tidak dimaklumkan tentang hari pertunangannya. Situasi hari ini, Majlis Pertunangan adalah antara agenda penting dalam kehidupan seseorang. Dan majlisnya bukanlah biasa-biasa, sudah seakan Majlis Perkahwinan. Nazma pula dengan caranya, melakukan sesuatu dengan apa yang difahaminya dan apa yang dipegangnya.

Meneruskan hari-hari terakhir dalam kamus kehidupan praktikalnya, Nazma merasakan dia mulai melihat sinar kebahagiaan. Hatinya seakan-akan riang kegirangan. Dia bakal melakukan sesuatu yang memenuhi minatnya. Tanpa tertekan, tanpa kerisauan juga kebimbangan. 


Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kepada Ilahi yang telah menguatkan dirinya hingga ke tahap ini. Sehingga dia berjaya menelan pahit manis dalam menuntut ilmu bidang Farmasi ini. Dan, di situlah Nazma ditarbiyah dan   terus ditarbiyah sehinggakan dia merasakan sungguh berbeza dirinya berbanding 3 tahun yang lepas. Percaturan Allah yang cukup indah, dan, terlalu banyak nikmatNYA yang tidak terhitung.


4 Jun 2010, merupakan hari terakhir Nazma berpraktikal. Nazma dan sahabat-sahabatnya berjumpa dan bersalaman serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada staf Hospital yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada mereka. Juga, melayani kerenah mereka yang masih keanak-anakan itu. Ilmu yang cukup berguna untuk mereka di masa hadapan. Bukan sahaja untuk masyarakat, terutamanya ilmu itu bekalan untuk diri mereka sendiri. Dan berakhirlah sebuah penantian yang cukup lama, akhirnya, Nazma bakal mencorakkan sekali lagi perancangan masa depannya. Walaupun begitu, Nazma sentiasa akur bahawa, dia merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah yang terbaik. Nazma redha dengan segala ketentuan Ilahi di hari mendatang.