Wednesday, May 25, 2011

Majlis Khitbah Fathullah & Nazma



2 bulan berlalu, Nazma melalui hari-hari praktikalnya di HUSM dengan hati yang semakin tenang. Walaupun, perancangan masa depannya masih kabur. Dia seperti tidak tahu arah tujuan hidupnya, matlamat hidupnya tiba-tiba kian kabur. 




Dahulu, apa yang dikejarnya hanyalah pengajian akademiknya. Sejak di bangku sekolah, dia belajar bersungguh-sungguh demi mendapat keputusan yang tinggi dalam peperiksaan. Dan dia merasai kepuasan, bila dia berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di setiap peperiksaan besarnya. Dan tujuan belajarnya hanya untuk mendapat sijil yang baik, menyambung pelajaran ke universiti dan bekerja dengan kerajaan. Itulah yang dilihatnya, dan baginya itu adalah satu kejayaan besar. Namun, jiwanya kosong. Dia sering tertanya sendirian, apakah yang belum lengkap dalam dirinya. Namun persoalan itu seakan sukar dicari jawapannya.


Sebagai satu hijrah, Nazma menanamkan satu niat yang cukup bererti buatnya, saat melangkah ke kampus pengajiannya, Nazma tidak ingin mengejar pengajian akademik semata-mata, dia mahu mendidik jiwanya yang kosong itu dengan menyuburkannya dengan benih-benih ilmu agama. Nazma yakin ini adalah hijrahnya. Dan dia sentiasa memohon dipertemukan dengan seorang penolong yang dapat memimpinnya ke jalan menuju Ilahi, iaitu seorang SAHABAT. Di kampusnya, Nazma masih dapat mengekalkan prestasi dalam akademiknya. Namun, sejak 2 tahun kebelakangan ini, dia semakin kurang semangat dengan bidang akademik yang diceburinya. Entah kenapa. Dia sukar mengungkapkan perasaannya. Namun, dirinya tidak mampu lagi bertahan, melakukan sesuatu dengan tiada minat padanya, melakukan sesuatu dengan terpaksa, melakukan sesuatu yang tidak serasi dengan jiwanya. Dia tidak mendapat kepuasan yang dia dapat dahulu. Nazma mulai tertekan dengan bebanan pengajiannya.

Mengubah Haluan? Namun, sejauh mana kekuatan yang Nazma ada untuk menghadapi pelbagai ujian dan dugaan nanti? Nazma jarang membantah keputusan besar orang tuanya. Malahan, mengubah haluan yang bakal mengecewakan orang tuanya, tidak mampu difikir oleh otaknya yang lemah itu? Namun, dia tidak boleh berterusan begini, boleh mengundang 'penyakit lain' pula pada masa akan datang.

Nazma lebih gemar bidang Mathematic sejak dulu, dan sejak akhir2 ini, dia juga gemar dalam bidang Computer Designing. Ada sahaja projek yang diambilnya. Nazma pernah menyertai Pertandingan Merekacipta Uniform Praktikal bagi kampusnya, dan rekaannya terpilih. Juga, di kampusnya, dia suka menceburkan diri dalam Unit Multimedia dan sebagainya. Minatnya pada designing hanya suka-suka, namun, memberikannya kepuasan. Dan, dia belajar dari kosong, hinggalah sekarang, dia makin boleh dalam bidang ini. Di HUSM, dia lebih menggemari kerja-kerja yang menggunakan komputer, memasukkan data-data ubat, memasukkan senarai nama ubat, juga, dia pernah cuba mencipta perisian untuk memudahkan pengendalian data-data ubat yang begitu banyak. Namun, kerana masih banyak kelemahan dari sistemnya dan dari hospital sendiri, perisian itu tidak dapat diteruskan. Walaupun begitu, setiap usahanya itu, Nazma mendapat kepuasan, kerana itu adalah minatnya.


Memikirkan apakah yang akan terjadi di masa depannya? Moga setiap keputusannya tidak lari dari matlamat penciptaan dirinya, Pengembaraan dalam Mencari Redha Ilahi. Itulah yang utama. Panjang Nazma termenung, Mengimbas kembali perjalanan hidupnya. Dan lamunannya terhenti apabila telefon bimbitnya berdering. Kak Wahida menelefonnya. 

"Assalamualaikum Naz. Apa khabar? Kak duk urus persiapan pertunangan Naz,ari sabtu ni. Naz ada apa-apa lagi tak yang tertinggal?, tanya Kak Wahida yang begitu banyak membantu menguruskan Majlis Pertunangan Fathullah dan Nazma yang akan berlangsung 3hari lagi.

"Waalaikumsalam, kak. Rasanya tak da pape dah kak. Lagipun, Naz bukan buat majlis besar-besar pun. Naz pun belum habis belajar lagi. Sekarang pun, tengah pening dengan Kertas Kerja Final Year. Yang penting, semua kita dah buat minggu lepas. InsyaAllah, kita doakan smuanya dipermudahkan dan berjalan lancar".

"Ok, tak pa lah camtu. Naz jangan risau. Yang kecik2 tu serahkan kat akak je. Pandai2lah akak. Kak sentiasa tolong Naz, jangan pening-pening. Yang penting, bila benda baik kita nak buat ni, Allah akan permudahkan dengan cara yang kita tak sangka-sangka. Yakin tu. Oklah, Naz balik petang ni kan. Kita jumpa kat rumah ya, InsyaAllah", Kak Wahida sentiasa memberikan kata-kata semangat di saat lemahnya.

******

Pagi ini, Nazma mengucapkan syukur pada Yang Maha Esa, masih diberikan nikmat hidup di muka bumi Allah, untuk terus mengembara mencari redha Allah. Hari bersejarah, 13 Mac 2010, sebentar lagi, dengan izin Allah, Nazma akan dikitbahkan dengan seorang lelaki. Proses ke arah ini yang begitu kompleks, tetapi sungguh indah, menunjukkan Kekuasaan dan Kebijaksanan Allah.

Jam 11.30 pagi, sampailah rombongan pihak lelaki. Suasana pagi yang tenang itu, dengan bunyi burung berkicauan, kanak-kanak bermain riang, orang tua ramah bersembang, lelaki itu tertunduk sahaja, mungkin mengenangkan segala urusannya yang begitu indah dicaturkan oleh Allah. Nazma pula di biliknya, menunggu dipanggil untuk keluar. Perasaannya bercampur baur. Gembira kerana bakal dikhitbahkan dengan lelaki yang sangat baik agamanya, Sedih kerana mengenangkan 'orang tengah' nya yang tiada bersama-sama di hari ini, dan Risau memikirkan ujian dan dugaan untuk dirinya dan juga tunangnya nanti, serta mengharapkan yang terbaik di sisiNya untuk perancangan masa depannya, bermatlamatkan, MENCARI REDHA ALLAH.

Tibalah saatnya Nazma dipanggil keluar. Nazma agak terkejut. Baru sahaja 10 minit, rombongan sampai, masakan sudah siap perbincangannya? Namun, Nazma hanya mengikut belakang Kak Wahida. Nazma dibawa ke kelompok wanita. Nazma bersalaman dengan rombongan keluarga Fathullah. Nazma kaku dan rasa kekok. Semua mata memandangnya. Malu rasanya dilihat begitu. Rupa-rupanya perbincangan belum bermula. Namun, atas permintaan salah seorang ahli keluarga Fathullah, untuk melihat Nazma. Nazma memahami kerana itu adalah pertama kali bersua muka dengan ahli keluarganya. Sebulan yang lepas, hanya sekeping gambar dikirimkan Nazma kepada Fathullah, itupun atas permintaan ibunya.


Selepas berbincang lebih kurang 30 minit, selesailah perbincangan dua keluarga. Ibu Fathullah menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Nazma. Kini, Nazma sudah menjadi tunangan Fathullah. Dan, status ini bukanlah bermakna mereka sudah mendapat lesen besar, mereka masih lagi ajnabi, malahan, terlalu banyak yang perlu dijaga demi menjaga kesucian hubungan ke arah pembinaan sebuah baitul muslim.




Masih segar di ingatan Nazma dan Fathullah, wasiat terakhir, yang cukup bermakna, dari Allahyarham Abang Mujahid saat penghujung perjumpaan mereka bertiga yang terakhir:

 "Matlamat kita hanya satu, inilah usaha atau jalan-jalan dalam menuju atau mencari redha Allah. InsyaAllah, perancangan kita jika baik urusannya di sisi Allah, DIA akan permudahkan melalui cara yang kita tidak sangka-sangka. Tetaplah keyakinan dan kepercayaan hanya padaNya, biiznillah, semuanya akan baik-baik belaka. Cuma ingat satu pesan penting, Tempoh Pertunangan adalah tempoh pasangan akan diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan sebelum memasuki alam perkahwinan. Ujian yang paling halus akan menjangkiti hati. Dari situlah, kemungkaran dan maksiat lain akan menular.Tempoh ini sememangnya untuk kita mengenali bakal pasangan kita, keluarganya, namun, gunakanlah pendekatan terbaik, dengan mengurangkan ruang-ruang untuk syaitan mencucuk virusnya pada hati kita ini. Jagalah hubungan pertunangan sebaiknya, demi keberkatan sebuah perkahwinan yang suci."












Saturday, May 21, 2011

Pertemuan Ibu Ayah vs Mak Pak

Kepenatan semalam belum hilang lagi, kesedihan semalam belum terubat lagi, namun, kehidupan perlu diteruskan. Kedatangan sahabat-sahabat Nazma yang tinggal jauh sedikit sebanyak memberi sokongan dan dokongan kepadanya. Petang ini, Nazma akan kembali ke rumah sewanya di Kubang Kerian. Sudah seminggu, Nazma memohon cuti dari latihan praktikumnya di HUSM, Kubang Kerian. Kelmarin, dia mendapat panggilan daripada Ketua Pegawai Farmasi, mengingatkannya supaya meneruskan latihan praktikumnya esok.


Jam 7.00 malam, Nazma selamat sampai di rumah sewanya. Beberapa minit kemudian, Azan Maghrib berkumandang. Zinnirah mengimamkan Solat Maghrib, dan menyampaikan tazkirah untuk malam itu. Nazma memeluk erat sahabat baiknya itu, yang sentiasa bersamanya di kala suka dan duka. Zinnirah banyak mengajar dan mendidiknya, serta mengajaknya ke jalan yang lebih dekat dalam Mencari Redha Ilahi. Zinnirah banyak bersabar dalam mendidik dirinya menjadi seorang muslimah. Muslimah yang cintakan ilmu agama dalam pengembaraan Menuju Ilahi. Nazma tidak dapat membendung lagi perasaannya. Titis-titis air mata mula berguguran di dalam dakapan Zinnirah. Sebelum ini, sukar untuk Nazma menangis kerna terlalu terkejut dengan pemergian Abang Mujahid, dan Nazma menguatkan dirinya yang lemah di hadapan keluarga tersayang.

Zinnirah menyeka air mata Nazma yang kian laju mengalir di pipi mulusnya. Zinnirah amat menyayangi Nazma, sahabat baiknya selama 3 tahun. Nazma banyak mentarbiyahnya dengan caranya yang tersendiri, Nazma tidak akan menegur salah silapnya dengan kata-kata, tapi, Nazma lebih memilih untuk berdakwah dengan perbuatan. Persahabatan mereka sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, kerana ianya sungguh unik. Kenapa? Kerna mereka bertemu kerana Allah, mereka berkasih sayang kerana Allah, dan mereka berpisah juga kerana Allah. Sesungguhnya jarak mungkin dapat memisahkan mereka, namun, tautan ukhuwah mereka tetap terjalin hingga ke syurga, InsyaAllah. 

Malam itu, Nazma dan Zinnirah bersembang setelah seminggu tidak bersua muka. Banyak yang ingin diceritakan oleh Nazma kepada Zinnirah, begitu juga dengan Zinnirah. Semuanya dikongsikan dan mereka saling menasihati antara satu sama lain.

"Alhamdulillah, Naz. Zin bersyukur, dalam ujian yang Naz hadapi, Dia tidak lupa selitkan begitu banyak hikmah buat Naz sekeluarga. Zin doakan urusan Naz dan Fathullah dipermudahkan olehNya. Sungguh indah percaturanNya Naz, cuma kita sahaja yang tidak menyedarinya kerana kelemahan dan kekurangan kita". 

"Alhamdulillah, Zin. Itulah, percaturanNya, dan kita hanya hambaNya yang lemah, namun, keyakinan kepadaNya tidak boleh goyah, walau apa saja yang terjadi. Sesungguhnya terlalu banyak nikmatNya yang kita dustai selama ini, bila diuji, barulah terngadah. Astaghfirullah...Moga pintu taubatNya masih terbuka buat hambaNya yang sentiasa alpa ini", mata Nazma kembali berkaca-kaca.

Zinnirah memeluk erat Nazma. "InsyaALLAH, sama-sama kita usaha, perbaiki diri dan amal kita".




**********
Pagi ini, Nazma bersiap-siap untuk ke HUSM meneruskan latihan praktikumnya. Sedang Nazma bersiap, telefon bimbitnya berdering, ada panggilan dari ayah. "Assalamualaikum, Naz. Dah bersiap ke nak gi hospital?", tanya ayah. "Waalaikumsalam, ye, Naz dah siap, napa ayah?". "Tak da apalah. Ayah jap lagi nak bertolak ke Tanjung Malim, nak uruskan beberapa urusan Allahyarham Abang Mujahid. Ayah pergi dengan ibu, Kak Wahida dan Adik. Nanti, kami nak singgah rumah Fathullah, nak ziarah tempat terakhir Allahyarham Abang Mujahid." Nazma mendengar dengan teliti. "Ok, baik-baik ayah ya. InsyaAllah, moga selamat pergi dan pulang ya".

Sambil mengisi senarai ubatan farmaseutikal untuk Klinik Radiologi, fikiran Nazma melayang lagi. Mengingatkan Allahyarham Abang Mujahid, perancangan Allahyarham, dan pemergiannya, semuanya bagai mimpi, sekelip mata sahaja semuanya terjadi. ALLAH Maha Kuasa, Maha Mengetahui. Kejadian kali ini benar-benar membuatkan dirinya merasa lemah dan tidak berdaya.

"Nazma, tolong bagi satu ampul Diclofenac kat Kak Liya", lamunan Nazma tersentak. "Ya Allah, bagaimana mungkin aku termenung di sini", getus hati kecilnya. Kak Liya yang mulai menyedari Nazma yang kelihatan lemah, mengajak Nazma berhenti rehat. Kak Liya cuba membuatkan Nazma melupakan kisah sedihnya. 

Seharian di HUSM hari ini, umpama tiada apa-apa buat Nazma. Sesampai di rumah sewanya, Nazma merebahkan badannya di atas tilam. "1 new message received" tentera di telefon bimbitnya yang di'silent'kan itu. "Ayah baru balik dari UPSI, Alhamdulillah, selesai segala urusan. Sekarang, ayah dalam perjalanan ke rumah Fathullah.", mesej dari ayah. Begitulah ayah, yang begitu mengambil berat tentang Nazma. 

Ayah mencari-cari rumah Fathullah. Dengan sedikit gambaran peta rumah Fathullah, ayah sampai jam 11.30 malam di rumahnya. Ayah kesesatan mencari rumah Fathullah. Mak pak Fathullah setia menunggu sejak jam 9.00 malam lagi. Kehadiran ayah ibu Nazma disambut dengan begitu baik oleh mak pak Fathullah. Walaupun sudah agak lewat ketibaan ayah Nazma, namun pak Fathullah begitu ramah berbicara. Menceritakan sehari semalam bersama Allahyarham Abang Mujahid.

Sekali lagi, ibu menitiskan air mata. Ibu sangat ingin mendengar kisah Allahyarham Abang Mujahid, namun, setiap kali itu juga, ibu akan menangis. Sungguh menyedihkan perasaan seorang ibu, yang telah menjaga anaknya sejak dalam kandungan hinggalah berusia 22 tahun. Sungguh pilu perasaan itu, sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Namun, kehidupan perlu diteruskan, dan keyakinan perlu sentiasa utuh kepadaNya, tiada yang sia-sia dalam kejadianNya, teruskanlah  pengembaraan kita menuju Ilahi ini.

Friday, May 20, 2011

Ujian Tidak Pernah Berhenti


Malam itu, Nazma tidur dalam kepenatan, lega setelah seminggu menguruskan tahlil buat Allahyarham Abang Mujahid. Jam menunjukkan tepat pukul 6 pagi, dan kedengaran ahli keluarga Nazma ada yang sudah bangun bersiap-siap untuk Solat Subuh berjemaah.

Nazma yang menyedari bahawa rumahnya ada ajnabi, terus sahaja bersiap-siap sebelum Fathullah dan sahabat-sahabatnya turun untuk solat berjemaah. Setelah bersiap, Nazma terus ke dapur, menghangatkan lauk-pauk majlis tahlil semalam. Sedang Nazma di dapur, kedengaran sayup-sayup bacaan Al-Quran dari Imam solat subuh di rumah Nazma. Nazma cukup kenal dengan suara itu, yang sentiasa kedengaran di Pusat Islam kampusnya. Dialah Fathullah, yang telah berjaya membuatkan hati Nazma bergetar setiap kali mendengar alunan bacaan Al-Qurannya. Juga mengingatkan Nazma pada Allahyarham Abang Mujahid, yang merupakan imam setiap kali solat berjemaah di rumah.

Nazma tersentak dari lamunannya, pabila terdengar seakan ada benda yang jatuh. Nazma meluru ke bilik adik bongsunya. Adik tiada di bilik. Nazma cemas. Dia melihat ke arah bilik air yang berkunci. Tak salah lagi Adik di dalam bilik air. "Adik! Adik! Buka pintu ni. Adik!", Tiada sahutan kedengaran, namun kedengaran Adik sedang mengerang kesakitan. Nazma panik.

Dengan seluruh kekuatan yang ada, Nazma membuka pintu dari luar. Mujurlah pintu itu tidak terkunci rapat. Terkejut Nazma melihat Adik sedang mengerang kesakitan dan jatuh. Hidung dan mulut adik berdarah. Nazma semakin panik. Nazma menjerit sekuat hatinya, "Ibu! Ibu!Cepat tengok Adik ni", suaranya kian lemah. Beberapa saat, Ibu datang. Ibu dan Nazma cuba mengangkat Adik, namun, tidak terdaya. Ayah yang baru selesai mengaminkan doa bersama imam datang ke arah kami. Terkejut ayah, diangkatnya Adik keluar ke ruang belakang.

Penyakit Adik datang lagi. Dia sawan ketika di dalam bilik air. Mungkin kesejukan. Namun, ini adalah yang paling serius berbanding yang sebelumnya. Terlintas di benak Nazma perkara yang bukan-bukan, tidak mampu merasai kehilangan orang terdekat lagi. Namun, cepat-cepat Nazma beristighfar, sesungguhnya semuanya adalah milikNya. Nazma kembali berdoa semoga dirinya dan keluarga dikuatkan hati meredah lautan ujian kehidupan ini. Darah pada hidung dan mulut Adik dilap oleh ibu. Ayah dan ibu di samping Adik. Adik kelihatan begitu lemah. Setengah jam kemudian, Adik tidur dengan nyenyak. Kami semua lega melihat Adik kian pulih dari sawannya.

Nazma kembali ke dapur, menyiapkan sarapan pagi bersama Kak Wahida. Fathullah dan sahabat-sahabatnya sedang bersembang dengan Abang Khairul. Setelah bersarapan, Fathullah dan sahabat-sahabatnya meminta diri untuk pulang. Keluarga Nazma menghantar mereka ke muka pintu. Nazma pula di ruang belakang menemani Adik yang sedang nyenyak tidur. Kadang-kadang, Adik terjaga dan mengerang kesakitan, namun, tidur kembali bila diulik dengan alunan zikir dari Nazma. Alunan zikir itu juga membuatkan Nazma makin tenang dengan ujian yang tidak pernah berhenti, tanda kasih sayang Allah padanya. Kadang-kadang, Nazma menyeka air mata yang menitis tanpa disedarinya.

"Ya Allah, kuatkanlah hati-hati kami yang lemah ini, tunjukkanlah jalan buat hati-hati kami yang buntu ini, tenangkanlah hati-hati kami yang gelisah ini, Amin, Ya Rabbal 'Alamin"

Monday, May 9, 2011

Satu Demi Satu Rahsia Kian Diketahui

Setelah seminggu mengadakan tahlil buat Allahyarham Abang Mujahid, malam ini merupakan malam ke-7, dan merupakan malam yang terakhir. Dan malam ini, Nazma sekeluarga akan menerima tetamu yang sangat dinanti-nantikan oleh keluarga Nazma. Dirinya dinanti-nantikan oleh semua malam itu, kerna terlalu banyak rahsia dan amanat terakhir Allahyarham Abang Mujahid yang ditinggalkan padanya. Tetamu itu adalah Fathullah.

Walaupun begitu, Nazma merasakan kurang senang dengan kehadiran Fathullah, Nazma merasakan sekarang bukanlah masa yang sesuai semuanya dirungkaikan. Namun, keluarga amat inginkan pertemuan dengan Fathullah, Nazma akur kerana itu bukanlah haknya menghalang kehadiran Fathullah, lagipula, biarlah terubat rasa  rindu mereka bila mendengar saat-saat akhir kehidupan Allahyarham Abang Mujahid yang cukup indah itu.

Zinnirah banyak membantu keberangkatan Fathullah ke rumah Nazma. Semuanya diuruskan Zinnirah. Nazma seperti biasa, menguruskan makanan untuk dihidangkan untuk tahlil malam itu. Di pintu depan, ayah, abang-abang, serta adik-adik menjemput jiran tetangga ke dalam rumah. Di dalam kehingaran malam itu, tiba-tiba, seorang lelaki, berjubah hitam, berserban putih, diiringi dua sahabatnya tiba di rumah Nazma. Sekilas pandang, lelaki itu benar-benar mengingatkan kepada Allahyarham Abang Mujahid. Namun, akal yang sihat masih lagi dapat mengecam itu adalah orang lain, yang mirip dengan Allahyarham Abang Mujahid. Berkaca-kaca mata ayah melihatkan lelaki itu, namun ayah kuatkan hatinya.

"Assalamualaikum", kedengaran salam diberikan kepada ayah dan abang dari muslimin itu. "Waalaikumsalam, Alhamdulillah, sampai jugak kamu, Fathullah, kami menanti-nanti kedatangan kamu malam ni", Abang Khairul menjawab salam muslimin itu. "Ayah, nila Fathullah, sahabat Allahyarham yang belajar kat China tu, orang yang sehari bersama Allahyarham sebelum pemergiannya tu", Abang Khairul memperkenalkan Fathullah kepada ayahnya.

Di dapur, Kak Wahida sedang mencari-cari gerangan Fathullah melalui tingkap dapur. Dengan dibantu dengan Zinnirah, akhirnya Kak Wahida dapat mengecam Fathullah. "Subhanallah, dik, benar-benar iras Allahyarham Abang Mujahid", bisik Kak Wahida kepada Nazma. Nazma hanya mampu mengukir sebuah senyuman ringkas. Tidak mampu lagi dia berkata apa-apa dengan percaturan Allah yang cukup rapi dan kompleks ini. Hanya ungkapan syukur yang tidak terhingga atas segala nikmatNya.

Usai sahaja jamuan makan selepas tahlil, tetamu beransur pulang ke rumah. Tinggal sahaja saudara mara terdekat dan Fathullah serta dua sahabatnya. Nazma dan Kak Wahida sahaja di dapur menguruskan pinggan-mangkuk. Semua yang lain dah berada di ruang tamu, bagi melihat Fathullah dan mendengar cerita-cerita dan amanat terakhir Allahyarham Abang Mujahid. Kak Wahida yang juga tidak sabar untuk mendengarnya, kekalutan di dapur. "Kak, pergilah ke depan. Tak banyak dah, sikit je nak kena simpan ni, Naz boleh buatnya, pergilah, Naz tahu Kak memang tak sabar nak dengar dah tu". "Betul ke dik? Takpe ke Kak tinggal Naz sorang-sorang kat sini, Naz tak nak dengar ke?", serba salah Kak Wahida ingin meninggalkan Nazma keseorang di dapur. "Naz dah biasalah kak, lagipun sikit sangat dah ni, Naz tak nak lah keluar, Kak dengar betul2 ceritanya, nanti cerita kat Naz tau",Nazma menyatakan keengganannya keluar. "Ok, Kak keluar dulu ye, buat kerja elok2 tau".

Di ruangan tetamu, semua memberikan sepenuh perhatian kepada Fathullah. Semua mendengar apa yang diceritakan Fathullah. Kadang-kadang, menyeka airmata yang menitis, semuanya merindui Allahyarham Abang Mujahid. "Alhamdulillah, Allahyarham pergi dengan keadaan yang baik, dia pulang dari program tarbiyyah, pulang dari program agama, insyaAllah, dia syahid di jalan Allah. Hari-hari sebelum pemergiannya pun, dia sungguh-sungguh mendekati Rabbnya, dia sentiasa mengingati kematian, membincangkan hal-hal kematian, insyaAllah, dia pergi dalam keadaan bersedia, kita banyak2kan doa moga dia sentiasa dalam rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.", Fathullah menyusun kata-kata terakhir pada malam itu.

Jam sudah menunjukkan jam 12.30 malam, Fathullah dan sahabat2nya meminta diri untuk ke tempat penginapannya. yang sejam perjalanannya dari rumah Nazma. Namun, keberangkatan mereka dihalang oleh ayah, ayah mempelawa mereka tidur sahaja di rumah ayah, memandangkan sudah agak lewat, dan agak bahaya jika mereka berangkat dengan kepenatan, Beberapa kali Fathullah dan sahabat2nya menolak,namun akhirnya Fathullah dan sahabat2nya terpaksa menerima pelawaan ayah Nazma, demi menjaga hati ayah sahabatnya itu dan memahami kerisauan seorang ayah.

Ayah menyiapkan bilik Allahyarham Abang Mujahid untuk sahabat-sahabatnya malam itu. Setelah semuanya sudah di dalam bilik masing-masing, kedengaran sayup-sayup suara Kak Wahida, ibu dan ayah di ruang tamu. Nazma yang kehairanan keluar dari bilik menuju ke ruang tetamu. Mereka bertiga sedang bersembang. Nazma yang kepenatan, kembali ke biliknya untuk berehat.

"Ayah pelik satu hal, macam mana Nazma 
seperti tak kenal dengan Fathullah, sedangkan mereka satu kampus, malahan Zinnirah kenal benar dengan Fathullah", tanya ayah kepada Kak Wahida. Kak Wahida memandang ibunya, ibu tersenyum. "Camni, ayah, sebenarnya Allahyarham Abang Mujahid nak jodohkan Nazma dengan Fathullah, cuma Nazma camtulah, macam ayah tak kenal dia tu, banyak sangat rahsia. Abang Mujahid yang uruskan semuanya, Abang Mujahid jumpa Nazma kat Radix Pizza House aritu, sebabnya nak uruskan hal ni la, Abang Mujahid kata takut susah dah nak jumpa lepas ni, jadi, Abang Mujahid buat perjumpaan tu supaya Nazma dan Fathullah benar-benar jelas dengan matlamat penjodohan mereka dan apa yang Abang Mujahid usahakan selama berbulan-bulan yang lepas." terang Kak Wahida panjang lebar.




Ayah agak terkejut namun naluri kebapaannya telah merasakan itu, sepertinya ada urusan yang besar antara Allahyarham Abang Mujahid dengan Fathullah. Ayah merasakan sangat merindui anak kebanggaannya itu, cukup halus dan teliti dalam menguruskan sesuatu hal. Allahyarham Abang Mujahid yang pergi dengan kebanggaan.