Thursday, April 21, 2011

Indahnya Percaturan Allah


Jenazah Allahyarham Abang Mujahid tiba di rumah Nazma pada pukul 7.30 malam. Solat jenazah yang diimamkan oleh Ustaz Aziz, yang merupakan bapa saudara Nazma, penuh dengan kesayuan. Saat Ustaz Aziz membacakan doa, titis-titis air mata bercucuran di pipinya. Ustaz Aziz yang cukup dikenali dengan ketegasannya itu juga merasakan kehilangan anak saudaranya, yang diibaratkan sebutir mutiara di lautan dunia ini.




Jenazah Allahyarham Abang Mujahid selamat dikebumikan pada pukul 1.30 pagi. Di keheningan malam itu, hujan turun renyai-renyai, menggambarkan malam yang penuh berkah itu. Kembalinya seorang mujahid ke pangkuan Rabbnya. Hanya kaum Adam sahaja yang mengiringi jenazah ke Tanah Perkuburan, kaum Hawa semuanya berkumpul di rumah Nazma. Bacaan Talqin oleh Ustaz Aziz memecahkan sunyi sepi di Tanah Perkuburan itu. Di tengah malam itu, yang kebiasaannya manusia sedang diulik mimpi, namun, ramai saudara-mara, sahabat-sahabat, jiran tetangga yang mengiringi jenazah ke Tanah Perkuburan. Menggambarkan betapa Allahyarham Abang Mujahid disayangi oleh setiap insan yang mengenalinya. Itulah Allahyarham Abang Mujahid, seorang mujahid yang dikenang-kenang pemergiannya.

Jam 4.30 pagi, rumah Nazma yang sarat dengan tetamu sejak petang semalam, kembali lengang. Dua bas dari Kampus Allahyarham Abang Mujahid di Perak dan beberapa kereta dari sahabat Nazma di Pulau Pinang begitu mengharukan keluarga Nazma. Besarnya kasih sayang sahabat-sahabat pada Abang Mujahid dan Nazma. Besarnya sokongan dari mereka. Sesungguhnya, Nazma sekeluarga merasakan begitu beruntung dikurniakan oleh Allah, seorang ahli bait seperti Allahyarham Abang Mujahid.


Selama seminggu, setiap malam diadakan Majlis Tahlil untuk Allahyarham Abang Mujahid. Dalam kesedihan, Nazma menguatkan semangatnya. Baginya, saat ahli keluarganya lemah, dia tidak boleh ikut lemah, nanti huru-hara jadinya. Nazma juga lemah, namun, saat itu, hanya Allah menjadi pengharapannya. Lagi pula, dia merupakan insan bertuah, dapat bertemu dengan Abang Mujahid di saat-saat akhir hidupnya. Juga, dia telah mendapat amanat-amanat besar dari Abang Mujahid terutamanya, dalam menjaga ahli keluarganya, dalam meneruskan kesinambungan gerak kerja dakwahnya. Sungguh besar wasiat Abang Mujahid, mengikuti jejak langkah seorang yang syahid di jalan Allah, bukanlah semudah mengungkapkan kata-kata. "Berusahalah yang terbaik dan semampumu, kemudian, serahkan segala keputusan kepada Allah, kerna DIA lebih mengetahui yang terbaik untuk hambaNya", Nazma memujuk dirinya yang lemah itu.

Di ruang belakang, kedengaran Abang Khairul sedang bersembang dengan ibu. Nazma berada di dapur, membasuh cawan-cawan yang dihidangkan kepada tetamu yang datang menziarah tadi. Hari ini, sudah hari keempat, pemergiannya Allahyarham, dan tetamu juga masih ramai yang datang menziarah kami sekeluarga. 
Usai sahaja kerjanya di dapur, Nazma melalui ruang belakang, untuk ke biliknya. 


"Masa Khairul di hospital tu, ramai sangat sahabat-sahabat Allahyarham Mujahid. Ada sahabatnya tu, baru pulang dari China, namanya Fathullah. Dan rupa-rupanya, Allahyarham Mujahid menghabiskan sehari sebelum pemergiannya di rumah sahabatnya itu.", cerita Abang Khairul pada ibunya. Nazma yang kepenatan terus sahaja melangkah ke biliknya. Fikirannya melayang mengenangkan Allahyarham Abang Mujahid. 

"Naz, marilah duk dengan ibu kat sini. Sudah-sudahlah kerjanya tu. Naz dah penat sangat tu", panggil ibu Nazma. Nazma mengukir sebuah senyuman dalam kepenatan, melangkah longlai ke arah ibunya. Dia duduk menyandar di sebelah ibunya. 

"O, ibu rasa mahu sahaja jumpa dengan budak itu. Apa namanya tadi, Khairul?"
"Fathullah, ibu"

Nazma tersentak dari sandarannya di bahu ibunya. Dia sangat mengenali nama itu. Bagaimana pula Abang Khairul mengenali muslimin itu. Nazma yang tersentak itu, disedari ibunya.

 "Kenapa Naz? Naz kenal ke budak tu", pertanyaan ibu itu boleh sahaja menjerat Nazma. 
"Tak,.. tak de lah, mana ada kenal. Biasalah tu, nama sama dengan budak kampus Naz dulu", jawab Nazma.
"Naz, dulu Naz pernah cerita kat ibu kan, yang budak melamar Naz tu, yang belajar di luar negara sekarang, apa namanya?", pertanyaan ibu tidak berhenti lagi.

Ibu cukup tahu isi hati Nazma, itulah yang sukar buat Nazma menyembunyikan apa-apa sahaja dari ibunya. Namun kali ini, dia tidak mahu membicarakan hal muslimin itu. Nazma merasakan kehilangan Abang Mujahid ini merupakan ujian besar buat keluarganya, dan dia tidak mahu membincangkan hal itu dalam masa terdekat. 

"Nanti bulan 5, Abang balik bincang dengan ibu dan ayah. Naz tak perlu cakap apa-apa. Biar Abang yang uruskan semuany, InsyaAllah", kata janji Abang Mujahid terngiang-ngiang di telinganya. Dan saat ini, dia merasakan semuanya perlu diuruskan olehnya sendirian,tanpa Abang Mujahid. Dia merasakan sangat lemah, dia tidak tahu sejauh manakah kekuatannya untuk meneruskan pembentukan Baitul Muslim yang telah diuruskan dan diusahakan oleh abangnya itu. Namun,dia meletakkan Allah sebagai satu-satunya tempat dia bergantung harap, kerana semua yang telah terjadi adalah dengan izinNYA, berlaku atas kehendakNYA. Begitu juga dengan apa yang akan terjadi selepas ini.

"Naz, lamanya Naz duk ingat balik nama dia. Naz tak ingat ke nama dia? Tak pe lah kalo Naz tak ingat". Tersentak Nazma dari lamunannya. Dan ibunya sendiri yang menutup perbincangan mengenai muslimin itu. Lega hatinya.

Abang Khairul terus bercerita mengenai Fathullah dan juga mengenai kisah-kisah terakhir Allahyarham Mujahid. Cerita-cerita itu yang telah diceritakan oleh Fathullah kepada Abang Khairul di hospital. Ibu sungguh khusyuk mendengarnya, kadang-kadang, ibu menangis. Setelah menyeka air matanya, ibu kembali mendengar dengan penuh perhatian. Hatinya cukup hiba, namun, hatinya juga ingin mengetahu saat-saat terakhir anak kebanggannya itu.

Telefon bimbing Abang Khairul berdering dan dia lekaske biliknya, untuk menjawab panggilan masuk itu. Tinggal Nazma dan ibunya sahaja di ruang belakang.

"Naz, ciri-ciri Fathullah tu banyak persamaannya dengan muslimin  yang Naz pernah ceritakan kat ibu tu. Naz, Muslimin itu Fathullah ke? Jujurlah dengan ibu, Naz", pertanyaan itu sudah diagak oleh Nazma. Ketika Abang Khairul rancak bercerita, Nazma sendiri merasakan ibunya sudah mengetahui hal sebenar dari persamaan-persamaan ciri- Fathullah dengan muslimin itu.Pertanyaan ibu itu, dijawab dengan anggukan kepala Nazma. Dia terkedu. Dan dia tidak mampu lagi berahsia dengan ibunya. Terlalu banyak rahsia yang disimpannya, dan dia merasakan ibunya lebih berhak mengetahuinya. 

"Alhamdulillah, Naz. Ibu bersyukur sangat. 
Sungguh indah percaturan Allah. Allah mengambil kembali Abang Mujahid yang DIA amanahkan kepada ibu. Namun, Allah hadiahkan ibu dengan seorang anak lelaki lain. Allah itu Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang." Terukir sebuah senyuman kebahagiaan di bibir ibu, tergambar kebahagiaan di hati ibu. Nazma merasakan berkurangan beban di dadanya, namun, dia tidak tahu bagaimana untuk menceritakan hal itu kepada ayahnya. Ini bukan hal yang mudah untuknya. Namun, dia masih meletakkan Allah sebagai penolong, moga Allah permudahkan segala urusannya.

"Allahu Rabbi. yu'assir wala tu'assir, amin"
(Ya Allah Ya Tuhanku, permudahkanlah urusanku dan janganlah Engkau sukarkannya)